Pemborong Selayang rugi 40% akibat peniaga haram


Elill Easwaran

Kawasan di luar pasar sibuk dengan aktiviti mengangkut hasil, trak penghantaran berbaris di jalan, dengan kedua-dua warga tempatan dan warga asing membuat tawar-menawar harga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Disember, 2021.

PENIAGA di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang menyaksikan penurunan jualan sebanyak 40 peratus kerana ada peniaga haram beroperasi di sekitar kawasan itu.

Peniaga warga asing ini dilarang masuk dan berniaga di dalam dan sekitar pasar borong namun mereka maish berdegil, malah terus beroperasi dekat dengan peniaga borong tempatan yang lain.

Naib Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Chong Tek Keong memberitahu The Malaysian Insight lebih kurang 100 gerai warga asing ini betul-betul berada di luar pasar utama, menyebabkan pemborong mengalami kemerosotan besar.

“Kita dapati jualan menurun 40 peratus di pasar Selayang berikutan peniaga haram yang beroperasi di sekitar pasar.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada warga asing yang mengusahakan gerai di pasar itu tetapi kini tidak ada lagi selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang mereka berniaga di pasar.

“Bagaimanapun, warga asing ini mula buka gerai mereka di luar pasar sekali gus menyebabkan perniagaan di dalam pasar terjejas teruk,” kata Chong.

Penjualan menurun 40 peratus di pasar Selayang berikutan peniaga haram yang beroperasi di sekitar pasar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Disember, 2021.

Tambahnya warga asing ini ada hubungan dengan pembekal dari Cameron Highlands dan juga Thailand.

Beliau juga berkata mesyuarat persatuan itu dengan DBKL minggu lepas menunjukkan ada sekurang-kurangnya 100 gerai di luar pasar menjual sayur-sayuran.

“Rasanya seperti macam ada dua pasar di sini, satu di dalam, satu di luar.”

Selain penjualan terjejas akibat peniaga warga asing ini, Chong berkata pelanggan juga kurang kerana prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang menyusahkan.

“Mereka yang ingin masuk pasar kena jalani saringan berkala. Hanya sebilangan orang sahaja yang boleh masuk dan pasar juga hanya dibenarkan beroperasi untuk tempoh masa tertentu.

“Mereka yang meniaga di luar tidak perlu patuh SOP. Warga asing di luar boleh berniaga dari pagi sampai subuh tanpa SOP seperti kami di dalam pasar.

“Pihak berkuasa juga kerap singgah ke pasar untuk periksa kualiti barang dan harga tetapi di luar tidak ada. Terlampau banyak halangan yang dihadapi peniaga yang berada di dalam pasar,” katanya.

Chong berkata penyelesaian terbaik untuk membendung isu ini ialah memastikan DBKL sentiasa berada di luar pasar dan menghalang warga asing tersebut daripada beroperasi.

Naib Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Chong Tek Keong berkata selain perniagaan dalam pasar terjejas, SOP Covid-19 yang menyusahkan juga menyebabkan ramai pelanggan memilih beli dengan peniaga warga asing kerana tidak perlu patuh SOP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Disember, 2021.

Lagi senang beli dengan peniaga asing

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati ratusan warga asing berada di sekitar pasar borong menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan segar.

Kawasan di luar pasar sibuk dengan aktiviti mengangkut hasil, trak penghantaran berbaris di jalan, dengan kedua-dua warga tempatan dan warga asing membuat tawar-menawar harga.

Lori dilihat keluar masuk sepanjang pagi, kebanyakannya menurunkan muatan manakala trak kosong lain dilihat diparkir di sebidang tanah kosong tidak jauh dari dari pasar.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati rakyat tempatan tidak ragu-ragu membeli dengan peniaga asing.

Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Sam berkata lebih mudah beli dengan warga asing di luar berbanding beli di dalam pasar.

“Apa yang saya perlu lakukan cuma bagi senarai barang yang saya mahu sementara saya tunggu dalam kereta. Beberapa minit kemudian warga asing akan datang dengan barang dalam troli dan letak di dalam kereta saya.

“Sedangkan jika saya masuk ke dalam pasar, saya kena bayar parkir dan selain itu saya juga perlu cari gerai demi gerai untuk dapatkan apa sahaja barang yang saya mahu. Saya boleh beli-belah semua yang saya mahu dalam masa kurang 20 minit di luar pasar,” katanya.

Lori dilihat keluar masuk sepanjang pagi, kebanyakannya menurunkan muatan manakala trak kosong lain dilihat diparkir di sebidang tanah kosong tidak jauh dari dari pasar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Disember, 2021.

Tahun lepas, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata warga asing tidak dibenarkan bekerja di pasar borong berikutan peningkatan kes Covid-19.

Beliau turut menggalakkan penduduk tempatan bekerja di pasar dengan memberi jaminan gaji minimum RM2,400 sebulan.

Pasar juga telah beberapa kali dilanda jangkitan Covid-19, menyebabkan ia ditutup beberapa kali. – 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen