Harga buah naik kerana nilai ringgit merosot, kata peniaga


Elill Easwaran

Peniaga buah-buahan terpaksa menaikkan harga buah import kerana kosnya naik sehingga 30% susulan kejatuhan nilai ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2022.

PENIAGA buah-buahan terpaksa menaikkan harga buah import kerana kosnya naik sehingga 30% susulan kejatuhan nilai ringgit.

Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy berkata pasaran sekarang sangat teruk kerana mereka berniaga dengan keuntungan yang terlalu sedikit.

“Semua benda mahal sekarang dan dengan nilai ringgit jatuh terlalu rendah, kos kami naik 30% apabila mengimport buah,” katanya, menambah kenaikan kos logistic menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga buah import.

“Bila kita import, mata wang asing menjejaskan kami dan sebaik saja ia tiba di Malaysia, kos logistik sangat mahal kerana harga petrol pun tinggi sekarang.”

Minggu lalu, ringgit jatuh kepada RM4.40 berbanding AS$1.

Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan perlu memberikan perhatian segera kepada mata wang negara yang semakin merosot, dan berisiko jatuh serendah RM5.50 berbanding AS$1.

Bagi petrol, harga jualan RON97 naik 37 sen kepada RM4.70 seliter, sementara harga RON95 dan diesel kekal tidak berubah hingga 1 Jun.

Chin berkata akibat kejatuhan nilai ringgit, peniaga tidak mengimport buah dengan jumlah banyak seperti sebelum ini.

“Kami tidak boleh jual mahal kerana pelanggan tidak akan beli. Jadi kami kurangkan buah import.

“Sebelum ini, pembeli boleh dapat lapan biji buah untuk RM10, sekarang hanya dapat enam,” katanya.

Chin berkata jualan merudum hampir 20% sejak dua bulan lalu dan situasi akan bertambah buruk jika ringgit masih tidak stabil dalam masa terdekat.

“Misalnya, jika ringgit jatuh RM4.80 kepada AS$1, ia akan menambah 10% lagi harga kos kami yang menjadikan kenaikan 40%,” katanya.

Pemilik kedai buah gulung tikar

Kenny Lim, 52, seorang peniaga buah di Kluang, Johor berkata jualannya merosot hampir 20% sejak dua bulan lalu.

“Apabila pemborong naikkan harga, kami tidak ada pilihan kecuali naikkan harga juga, menyebabkan jumlah pelanggan berkurangan.

“Saya berharap keadaan pada masa ini tidak sampai ke peringkat di mana buah-buahan dianggap sebagai bahan mewah,” katanya.

Lim berkata pelanggan tetapnya kini tidak membeli lebih daripada lima biji buah, tidak seperti sebelum ini di mana mereka beli lebih daripada itu.

“Pelanggan sangat cerewet sekarang, hanya beli apa yang perlu saja,” katnya.

Seorang lagi pemilik kedai buah-buahan, Muhammad Saiful, 48, berkata beliau berhenti mengambil kebanyakan buah daripada pembekal kerana harga terlalu tinggi.

“Sekarang saya hanya ambil buah-buahan yang popular dalam kalangan pelanggan saya, yang lain tidak ambil kerana takut membazir.

“Tindakan segera perlu diambil untuk baiki nilai ringgit. Banyak peniaga buah akan gulung tikar jika keadaan ini tidak diperbaiki,” katanya yang berniaga di Kuantan.

Katanya, perniagaannya merosot hampir 15%. – 1 Jun, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen