Petani bimbang kenaikan harga baja jejas pengeluaran sayur, buah


Khoo Gek San

Petani bimbang konflik Rusia-Ukraine menyebabkan rantaian bekalan baja import negara terjejas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2022.

PETANI membangkitkan kebimbangan yang mereka mungkin berdepan krisis berikutan konflik Rusia-Ukraine yang menyebabkan harga baja naik.

Kata mereka, konflik tersebut sudah pun menjejaskan rantaian bekalan baja import negara dan kini bimbang jika pertanian tidak lagi menguntungkan susulan bekalan tidak menentu telah menyebabkan harga meningkat.

Penanam durian Tan Sue Sian memberitahu The Malaysian Insight kini terdapat kekurangan kedua-dua baja kimia dan organik yang biasa digunakan oleh petani durian di pasaran.

Pengarah urusan Top Fruits itu berkata beberapa syarikat menjual baja tidak lagi menerima tempahan.

Beliau berkata syarikat itu hanya akan memaklumkan kepada petani apabila stok ada dan akan dijual berdasarkan siapa cepat dia dapat.

“Syarikat-syarikat takut untuk terima tempahan kerana mereka tidak pasti tentang bekalan. Harga juga berbeza dari satu hari ke satu hari,” tambah Tan.

Tan berkata, pandemik Covid-19 juga memberi kesan kepada rantaian bekalan global baja itu pada tahap tertentu dan petani yang risau mula menyimpan stok apabila bekalan tidak menentu dan harga melambung.

Tetapi lebihan stok ada kelemahannya, katanya.

Baja, terutamanya baja kimia, ada jangka hayatnya yang tersendiri.

Jika ia tidak digunakan dalam tempoh jangka hayatnya, keberkesanan baja itu akan hilang, katanya.

Kata Tan, beliau cuma mempunyai stok baja yang mencukupi sehingga penuaian pertama tahun ini pada Jun.

“Saya ada stok baja yang cukup untuk bertahan enam bulan akan datang sahaja.”

Jika bekalan terus menjadi masalah, beliau bimbang hasil tuaian kedua pada penghujung tahun akan terjejas yang boleh menjejaskan eksport duriannya ke China.

“Saya kini perlu berhati-hati ambil pesanan baharu. Saya tidak berani ambil pesanan baharu jika bekalan tidak menentu.”

Tan tekankan pada akhir tahun lepas, harga baja telah meningkat sebanyak 30 peratus apabila Covid-19 memberi kesan kepada rantaian bekalan.

Pada awal tahun ini, ia meningkat lagi 20 peratus.

“Harga satu tan telah meningkat daripada RM2,200 kepada RM4,000. Hampir dua kali ganda.”

Tan berkata beberapa penanam telah pun ramal apa yang akan berlaku apabila Rusia menjalankan operasi ketenteraannya di Ukraine dan mula membeli semua baja yang ada.

“Mereka bimbang rantaian bekalan tidak akan kembali normal dalam masa yang singkat walaupun perang tamat.”

Bagaimanapun kebimbangan penanam durian bukan sekadar tentang harga, kata Tan.

Katanya jika pokok durian tidak dibaja, hasil akan berkurangan sebanyak 70 peratus.

Kenaikan harga baja menyebabkan tahun yang buruk bagi penanam durian, tambahnya.

Beliau berkata, harga bahan mentah dan kos pengangkutan juga meningkat.

Pada masa sama, gaji pekerja juga meningkat, menjadikan kos operasi syarikatnya meningkat sebanyak 30 peratus.

Tan berkata jika harga bahan mentah terus meningkat tanpa henti, beliau menjangkakan harga durian akan naik sebanyak 20 peratus.

Eric Chan, pengarah urusan Dulai Fruits Enterprise, berkata petani durian terpaksa terpaksa terima hakikat kenaikan harga.

Beliau berkata penanam tidak mempunyai pilihan selain menggunakan baja walaupun harganya meningkat jika mereka mahukan hasil yang baik pada Jun.

“Kami beli lebih banyak baja daripada biasa apabila tersedia. Nasib baik, syarikat saya ada cukup untuk bertahan sampai November.”

Chan berkata perkara yang menyedihkan apabila penanam durian tidak dapat menetapkan harga buah mereka.

“Semuanya bergantung kepada permintaan pasaran.”

Beliau berkata walaupun hasil tuaian baik tetapi permintaan dari China tidak meningkat, maka harga buah kekal rendah.

Keadaan masih terkawal buat petani sayuran

Presiden Persatuan Peladang Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee menasihatkan petani sayur dan petani buah-buahan supaya menggunakan apa-apa baja kimia atau organik yang terdapat di pasaran.

Lim berkata petani sayur, tidak seperti penanam durian, tidak berhadapan kekurangan baja pada masa ini.

Katanya, beliau menasihati mereka sekiranya jenama biasa yang mereka gunakan kehabisan stok, mereka perlu memilih jenama lain.

“Kami cuma bimbang jika perang di Ukraine berlarutan, pastinya akan berlaku kekurangan bahan mentah untuk membuat baja dan itu akan mengakibatkan kekurangan.

“Harga baja pasti akan melambung tinggi ketika itu,” katanya.

Pada Mac tahun lepas, harga baja untuk sayur-sayuran antara RM120 hingga RM130 sebungkus. Pada masa ini ia adalah RM160.

Lim berkata harganya melonjak sehingga RM200 sebungkus pada awal tahun apabila urea, salah satu bahan mentah yang biasa digunakan dalam pembuatan baja sayur-sayuran, kehabisan stok.

Beliau juga menegaskan salah satu masalah yang dihadapi oleh petani sayur adalah menyediakan stok baja mereka.

“Mereka tidak boleh simpan lebih daripada 100 paket pada satu-satu masa.”

Katanya, satu ekar memerlukan tiga hingga lima paket baja.

Baja tiruan

Lim berkata beliau juga bimbang dengan kemunculan “baja tiruan yang murah” di pasaran.

“Oleh sebab murah, petani cenderung beli dalam kuantiti yang banyak. Bagaimanapun, saya sudah bagi amaran kepada petani supaya tidak beli baja murah ini sebab ia boleh rosakkan sayur-sayuran dan menyebabkan kesan sampingan kepada manusia.”

Lim berkata beliau telah meminta bantuan Kementerian Pertanian untuk memastikan kualiti baja murah itu tetapi diberitahu kementerian tidak mempunyai kemudahan ujian khusus.

Ujian untuk mengkaji semula komposisi baja mungkin sangat mahal di kemudahan ujian terhad kementerian, kata Lim.

Tambahnya laporan keputusan mungkin mengambil masa berbulan-bulan.

“Jadi saya hanya boleh bagi amaran kepada ahli yang murah itu tidak benar-benar bagus.”

Seorang pekebun kecil kelapa sawit, Paul Wong berkata petani dalam sektornya mendapati baja import semakin mahal.

Sebungkus dari Jepun kini berharga RM200, katanya.

Malaysia, tambahnya, mengimport bajanya.

Buat masa ini, pekebun kecil seperti beliau mampu membeli baja kerana harga kelapa sawit “sangat baik”.

Harga kelapa sawit yang disebut harga terakhir ialah RM4,500 setan. – 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen