95% rakyat tak makan sayur ikut saranan KKM, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata kebanyakan penduduk negara ini tidak mengambil sayur dan buah mengikut sukatan pinggan suku-suku separuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2022.

KIRA-KIRA 95 peratus penduduk negara ini didapati tidak makan sayur seperti disaran Kementerian Kesihatan (KKM), yang menjadi antara faktor kepada berlaku penyakit hati berlemak serta berisiko untuk mengalami penyakit jantung dan buah pinggang.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata dapatan berkenaan berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dilakukan setiap empat tahun sekali bagi melihat literasi kesihatan penduduk negara ini.

Beliau berkata kebanyakan penduduk negara ini tidak mengambil sayur dan buah mengikut sukatan pinggan suku-suku separuh dan hanya mengambil sejenis sayur sahaja setiap kali makan.

“Makan satu jenis sayur sahaja tidak bagus untuk kesihatan sebaliknya perlu mengambil pelbagai jenis serat dan warna sayur-sayuran yang elok. Kalau tidak makan sayur akan kurang zat dan melebihkan pengambilan gula serta karbohidrat ringkas, ia akan menyebabkan sebatian organik itu terbenam dalam badan sebagai lemak.

“Kemudiannya akan pergi hati sehingga menjadikan penyakit hati berlemak dan akhirnya ia tidak berfungsi dengan baik sehingga sistem dalam badan kita rosak dan membawa kepada berlakunya penyakit tidak berjangkit (NCD) antaranya penyakit jantung dan buah pinggang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Saintifik Institut Kesihatan Negara (NIH) ke-23 di Shah Alam hari ini.

Dr Noor Azmi berkata NHMS 2019 mendapati nisbah 1:15 peratus penduduk negara ini mempunyai penyakit obesiti dan mereka yang mempunyai lemak besar di perut dengan ukur lilit pinggang iaitu lelaki melebihi 90 sentimeter (cm) dan perempuan 80 cm.

“NCD ini umpama bom jangka kalau dibiarkan dan kita mengalakkan masyarakat menyertai inisiatif Saringan Kesihatan Nasional agar memastikan mereka peduli pada kesihatan mereka,” katanya.

Susulan itu katanya untuk NHMS akan datang, kerajaan akan menubuhan satu Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan untuk meningkatkan kefahaman dan penggunaan fasiliti kesihatan yang sedia ada hari ini. – Bernama, 19 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen