Krisis makanan global, kurang zat ancam berjuta nyawa, kata eksekutif kesihatan


Pengarah Eksekutif Dana Global untuk Melawan Aids, Tuberkulosis dan Malaria berkata kesan gabungan penyakit berjangkit dan kekurangan makanan dan krisis tenaga akan meragut berjuta-juta nyawa penduduk dunia. – Gambar EPA, 23 Jun, 2022.

KETUA organisasi bantuan utama memberi amaran krisis makanan global akibat perang di Ukraine akan membunuh jutaan nyawa, di mana kekurangan khasiat akan mengundang penyakit berjangkit, sekali gus mencetuskan malapetaka kesihatan dunia.

Sekatan tentera laut Rusia di pelabuhan Laut Hitam Ukraine telah menghentikan penghantaran bijirin daripada pengeksport gandum dan jagung keempat terbesar di dunia, meningkatkan kebimbangan kekurangan dan kelaparan di negara berpendapatan rendah.

Kesan akibat kekurangan makanan bermakna ramai yang akan mati bukan sahaja kerana kelaparan tetapi kerana mempunyai sistem pertahanan yang lebih lemah untuk melawan penyakit berjangkit akibat pemakanan yang tidak baik, kata Pengarah Eksekutif Dana Global untuk Melawan Aids, Tuberkulosis dan Malaria, Peter Sands kepada AFP.

“Saya rasa kita mungkin sudah menghadapi krisis kesihatan seterusnya. Ia bukan patogen baharu tetapi ia bermakna orang yang kurang zat makanan akan lebih terdedah kepada penyakit sedia ada,” katanya dalam satu wawancara selepas pertemuan menteri kesihatan G20 di kota Jogjakarta, Indonesia.

“Saya fikir kesan gabungan penyakit berjangkit dan kekurangan makanan dan krisis tenaga… kita bercakap tentang berjuta-juta nyawa terkorban,” katanya.

Kerajaan dunia harus meminimumkan kesan krisis makanan dengan menyediakan penjagaan kesihatan barisan hadapan kepada komuniti termiskin mereka, yang akan menjadi yang paling terdedah, kata bekas jurubank Britain yang kini mengetuai organisasi itu.

“Ini bermakna perlu beri tumpuan kepada penjagaan kesihatan primer supaya penjagaan kesihatan yang disampaikan ke kampung, dalam masyarakat. Hospital penting tetapi apabila anda berhadapan dengan cabaran seperti ini, perkara yang paling penting ialah penjagaan kesihatan primer.” – AFP, 23 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen