Krisis makanan global: AS-Rusia saling tuduh menuduh


AMERIKA Syarikat (AS) dan Rusia saling tuduh menuduh pada Khamis atas krisis makanan global yang semakin memburuk.

Washington menggesa Rusia membenarkan eksport bijirin Ukraine yang disimpan di pelabuhan Laut Hitam. Ukraine merupakan salah satu pengeluar utama gandum dunia.

“Berhenti sekat pelabuhan di Laut Hitam. Benarkan pengaliran bebas kapal dan kereta api serta trak yang membawa makanan keluar dari Ukraine,” kata Setiausaha Negara Antony Blinken semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB yang dianjurkan oleh AS.

“Berhenti mengancam untuk menahan eksport makanan dan baja dari negara yang mengkritik pencerobohan anda,” katanya.

“Bekalan makanan untuk berjuta-juta rakyat Ukraine dan berjuta-juta lagi di seluruh dunia secara literal telah dijadikan sebagai tebusan oleh tentera Rusia,” tambah Blinken.

Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia, membalas dengan mengatakan negaranya dipersalahkan atas semua kesengsaraan dunia.

Beliau berkata dunia telah lama mengalami krisis makanan yang disebabkan oleh lingkaran inflasi yang berpunca daripada kenaikan kos insurans, masalah logistik, dan spekulasi mengenai pasaran Barat.

Beliau berhujah pelabuhan Ukraine disekat oleh Ukraine sendiri.

Malah Ukraine tidak mahu bekerjasama dengan syarikat perkapalan untuk membebaskan berpuluh-puluh kapal kargo asing yang disekat di pelabuhan, kata Nebenzia.

Beliau juga mengecam sekatan Barat terhadap Rusia, dengan mengatakan akibatnya memburukkan lagi krisis makanan di seluruh dunia.

Blinken membalas “sekatan tidak menghalang Rusia daripada mengeksport makanan dan baja.” – AFP, 20 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen