Input semua pihak penting tangani isu harga makanan, kata DAP


PERBINCANGAN dan perbahasan dengan input menyeluruh daripada semua pihak adalah penting dalam usaha menangani isu kenaikan harga barangan makanan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata tindakan kerajaan untuk tidak mengenakan permit import (AP) bagi mengimport bahan makanan tidak akan menyelesaikan perkara itu.

“Kenaikan harga adalah isu utama yang dihadapi rakyat sekarang dan perkara ini (tindakan tidak mengenakan AP) hanya sebagai reaksi sentak lutut. Ia tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya dalam sidang akhbar bersama Naib Pengerusi DAP Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Beliau berkata isu kenaikan harga makanan tidak mempunyai penyelesaian khusus sebaliknya kerajaan perlu melihat semula isu rantaian bekalan kerana di negara kita, terlalu banyak orang tengah di pelbagai lapisan yang menyumbang kepada faktor kenaikan harga.

Loke juga berkata beliau telah mengarahkan penasihat dasarnya Tony Pua untuk merangka kertas dasar DAP berkaitan isu inflasi dan kenaikan harga barang. 

“Selepas kertas dasar siap, kita akan umumkan pendirian dan cadangan kita,” katanya. – Bernama, 20 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen