Orang Asli Mah Meri perlu bantuan kerajaan promosi budaya, pelancongan


Elill Easwaran

Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, Selangor berharap kerajaan dapat membantu mempromosikan kebudayaan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Mei, 2022.

ORANG Asli Mah Meri di Pulau Carey, Selangor kini menjalani kehidupan lebih baik apabila aktiviti pelancongan dibenarkan susulan pemansuhan sekatan pergerakan Covid-19.

Namun mereka berharap kerajaan akan melakukan lebih banyak lagi untuk mempromosikan tarikan kebudayaan mereka.

Kelangsungan hidup mereka bergantung kepada pelancongan, kata mereka sambil menceritakan dua tahun kesukaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tahun lepas semasa PKP 2.0 isi rumah Orang Asli di situ tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar bil elektrik mereka dan terpaksa hidup dalam kegelapan untuk satu tempoh.

Penghibur tarian etnik Maznah Uyan, 53, gembira kerana tidak lagi bergantung kepada bantuan makanan daripada pertubuhan amal dan kerajaan.

“Hari ini kami lebih gembira kerana mampu membeli beras, minyak masak, tepung dan barangan keperluan lain sendiri.

“Setahun yang lalu kami terpaksa bergantung kepada orang lain tetapi kini tidak lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight pada lawatan baru-baru ini ke Kg Sg Bumbun di Pulau Carey.

Maznah berkata dia sudah dapat membuat persembahan dengan lebih banyak lagi apabila acara kebudayaan diadakan semula.

Perjalanan rentas negeri dibenarkan sejak 10 Oktober dan sempadan Malaysia dibuka semula kepada perjalanan antarabangsa pada 1 April.

Penghibur tarian etnik Mah Meri Maznah Uyan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Mei, 2022.

Maznah berkata satu-satunya perkara yang Mah Meri harap kerajaan boleh lakukan adalah untuk mempromosikan lebih banyak pelancongan di Pulau Carey supaya mereka juga boleh mendapat manfaat daripada pelancongan tempatan dan luar negara.

“Itulah bantuan yang kami perlukan daripada kerajaan kerana ramai yang lupa kampung dan tarikan kebudayaan kami,” katanya.

Kaum Mah Meri terkenal dengan kemahiran anyaman dan ukiran kayu mereka.

Sejak dua tahun lau mereka tidak dapat menjual kraf mereka kepada pengunjung Pulau Carey kerana PKP.

Julida Uju, 53, seorang tukang tenun berkata keadaannya kini lebih baik sedikit berbanding dua tahun lepas.

“Saya mula mendapat lebih banyak tempahan sekarang dan terdapat juga pelancong tempatan berkunjung ke kampung itu pada hujung minggu.

“Rasa lega tidak bergantung kepada bantuan daripada orang lain,” katanya.

Walaupun bersyukur dengan bantuan yang diterima semasa berada dalam kesusahan, penyampaian bantuan tidak dijadualkan secara konsisten.

Julida juga berharap pihak berkuasa membantu kaum Mah Meri berdikari dengan mempromosikan budaya mereka sebagai tarikan pelancong.

“Kami tidak celik teknologi jadi kami tidak tahu cara melakukan promosi untuk menggalakkan pelancong datang ke sini jadi kami bergantung kepada kerajaan untuk itu.

“Kami berharap dengan bantuan kerajaan akan ada ramai pelancong di sini seperti sebelum sekatan,” katanya.

Sementara itu pengukir kayu Mizan Hasan, 43, berkata pihak berkuasa perlu mengadakan program pelancongan di kampung mereka bukannya di lokasi lain.

“Saya dijemput oleh Kementerian Pelancongan untuk acara di luar kampung tetapi bagaimana dengan artis lain di sini yang tidak dijemput?

“Program harus dibawa ke sini dan diadakan di sini bagi memberi pendedahan kepada tukang lain,” kata Mizan. – 22 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen