Kes positif Covid-19 cetus kebimbangan suku Mah Meri


Noel Achariam

Masyarakat Orang Asli suku Mah Meri di Pulau Carey, Selangor bimbang selepas dua kes Covid-19 dikesan di kampung mereka, – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2021.

MASYARAKAT Orang Asli suku Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun di Pulau Carey, Selangor bimbang selepas dua penduduk dijangkiti virus Covid-19, pertama kali jangkitan dalam kalangan mereka.

Penduduk yang dijangkiti itu merupakan seorang wanita 63 tahun dan anak lelakinya yang berusia 36 tahun, yang bekerja sebagai tukang cuci di Putrajaya, kata pengerusi jawatankuasa kampung Sharim King King.

Sharim memberitahu The Malaysian Insight, jabatan kesihatan menasihatkan penduduk kampung supaya jangan mendekati kawasan kediaman dua beranak itu. 

Keluarga yang tinggal berdekatan rumah wanita dan anaknya itu juga diarahkan supaya menjalani kuarantin, kata Sharim.

“Ini pertama kali ada kes jangkitan di kampung ini. Kami sudah nasihatkan penduduk kampung supaya jangan ke sana, jabatan kesihatan juga sudah kepung kawasan itu,” katanya, menambah penduduk kampung juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Sharim, terdapat 162 keluarga tinggal di Kampung Sungai Bumbun, yang terletak 12km dari bandar Teluk Datuk Panglima Garang.

Seorang jurucakap Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memberitahu The Malaysian Insight, anak lelaki pesakit mengadu mengalami demam dan dibawa ke Hospital Banting pada Khamis bersama ibunya.

“Dia didapati positif selepas menjalani ujian swab. Ibunya juga disahkan positif.”

Katanya, wanita itu dirawat di Hospital Banting manakala anaknya dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

Sembilan ahli keluarga wanita itu juga sudah disaring dan sedang menjalani kuarantin, tambah jurucakap itu.

“Mereka dikuarantin di rumah sampai Isnin, kemudian akan sekali lagi jalani ujian swab,” katanya.

Jurucakap itu juga berkata Jakoa akan memberi bantuan makanan sepanjang tempoh kuarantin.

Menurutnya lagi, kes jangkitan Covid-19 juga dikesan di Kuala Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Sepang. – 27 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen