Orang Asli Bagan Lalang diberi tempoh lanjutan berpindah


Raevathi Supramaniam

Suku kaum Orang Asli Mah Meri Bagan Lalang diarahkan berpindah sebelum 20 Mei agi memberi laluan kepada kerajaan Selangor membangunkan kawasan itu sebagai lokasi tarikan pelancongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2021.

SUKU kaum orang Asli Mah Meri diberi tempoh lanjutan untuk mengosongkan Kampung Bagan Lalang bagi memberi laluan kepada kerajaan Selangor membangunkan kawasan itu sebagai lokasi tarikan pelancongan.

Penduduk kampung itu sepatutnya diarahkan pindah sebelum 20 Mei.

Tempoh lanjutan itu disahkan oleh Ilyas As-Said, pegawai khas Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menerusi satu ciapan dalam Twitter.

Seorang pengguna Twitter berkongsi maklum balas emel daripada Ilyas yang menyatakan pegawai kepada Hanifa telah bertemu dengan wakil pejabat daerah dan tanah Sepang serta penduduk kampung berhubung notis tersebut.

“Notis 30 hari yang diberikan kepada mereka akan dilanjutkan apabila tarikh notis asal berakhir. Tok batin Kampung Orang Asli Bukit Bangkong juga bersetuju untuk berpindah ke perkampungan asal nenek moyang mereka.

“Kos perpindahan dan bantuan kewangan masih dibincangkan oleh pejabat tanah, Jabatan Kemajuan Orang Asli, PNSB dan Avani,” kata Illyas dalam emel itu.

Bagaimanapun tempoh lanjutan tersebut tidak dinyatakan. 

Pada 20 April, 36 Orang Asli daripada 12 keluarga di kampung itu diberikan notis pengusiran. Mereka perlu mengosongkan tanah itu dalam masa 30 hari dari tarikh notis.

Tanah tersebut mula didiami Orang Asli dari kawasan lain sekitar 20 tahun lalu. Mengakui penghuni setinggan di tanah itu, mereka meminta sedikit tempoh, dengan berkata tidak dibawa berbincang sebelum menerima notis pengusiran, dan juga tidak mempunyai pilihan untuk penempatan semula.

“PNSB pada prinsipnya boleh mempertimbangkan permintaan untuk lanjutan notis pengusiran kerana tarikh yang dinyatakan pada notis itu bukanlah tempoh akhir untuk merobohkan kawasan, tetapi untuk memberitahu penduduk kampung yang mereka menceroboh tanah kami.

“Namun, semua keputusan (berkaitan lanjutan) akan ditentukan oleh pejabat tanah dan daerah Sepang,” kata syarikat itu.

PNSB juga mengesahkan pihaknya menerima surat penduduk kampung untuk meminta tempoh lanjutan, daripada Taha Bin Akhir, Tok Batin dari Kampung Orang Asli Bukit Bangkung yang juga menjaga Kampung Bagan Lalang. – 15 Mei, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen