Orang Asli di Pulau Carey terasing sepanjang PKP


Elill Easwaran

Suku Mah Meri, yang bergantung kepada kemahiran mereka sebagai tukang dan penari persembahan kebudayaan etnik, terjejas teruk akibat PKP sejak Mac tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2021.

MALAM jadi lebih gelap bagi penari etnik Maznah Anak Uyan, 52, yang kini tidak mampu membayar bil elektrik selepas tidak dapat bekerja sepanjang perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0) ini.

Di rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, wanita Orang Asli Mah Meri itu berkata beliau hanya mempunyai wang saku sebanyak RM10.

“Saya tidak boleh membeli sabun untuk mandi. Saya hanya makan sayur-sayuran yang saya tanam di luar rumah,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam lawatan ke dua kampung Orang Asli di Pulau Carey baru-baru ini.

Suku Mah Meri, yang bergantung kepada kemahiran mereka sebagai tukang dan penari persembahan kebudayaan etnik, terjejas teruk akibat PKP sejak Mac tahun lalu.

Etnik yang turut terkenal dengan ukiran kayunya itu kini tidak lagi dapat menjual kraftangan mereka kepada pelancong dan pelawat di Pulau Carey akibat PKP.

Maznah berkata beliau berharap keadaan akan bertambah baik pada September tahun lalu selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan dan kumpulan tariannya juga turut dipanggil untuk membuat persembahan di Pulau Pinang.

Namun beliau hanya sekadar memperoleh sekitar RM500 daripada pertunjukan tersebut.

“Kami fikir keadaan akan kembali normal namun rupanya jadi semakin buruk.

“Sebelum Covid-19 kita sekurang-kurangnya boleh dapat RM1,000 sebulan. Tetapi sekarang, tanpa pertunjukan untuk membuat persembahan dan tidak ada yang membeli kraftangan kami, RM50 pun kami tidak dapat hasilkan dalam masa sebulan,” katanya.

PKP yang dilaksanakan ketika ini adalah yang kedua sejak ia kali pertama dilaksanakan Mac hingga Mei tahun lalu. 

Pelaksanaan kali kedua ini diumumkan selepas lonjakan kes baharu Covid-19 selepas keluknya berjaya dilandaikan sejak Mei tahun lalu. 

Seorang wanita Mah Meri menolong anaknya dengan beg sekolah selepas mengambil kerja sekolah mingguannya di Pulau Carey, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2021.

Pakar kesihatan dan pemimpin perniagaan mendesak Putrajaya membangunkan strategi komprehensif untuk memerangi wabak dan bukannya melaksanakan beberapa kali PKP, yang menjejaskan ekonomi.

Pengukir kayu Mizan Hasan, 43, juga dari Kampung Sungai Bumbun, kebiasaannya memperoleh hampir RM3,000 sebulan daripada menjual anak patung kayu.

Ketiadaan pelancong membeli hasil seninya, beliau hanya memperoleh pendapatan daripada memetik buah kelapa sawit di ladang mertuanya, sebanyak RM15 hingga RM20 sehari.

“Saya mempunyai lima ahli keluarga dan pendapatan RM600 sebulan tidak mencukupi kerana perbelanjaan bulanan kami sendiri boleh mencecah sehingga RM1,700,” kata Mizan.

Di kampung berikutnya, Kampung Sungai Judah, seorang nelayan bernama Bilet, 38, juga risau bagaimana untuk mendapatkan makanan untuk keluarganya.

Memancing kini lebih sukar tanpa tangkapan kerana banyak kapal berlabuh di pinggir laut kampungnya.

Beliau membuat kebun kelapa sawit kecil tetapi hasilnya sedikit kerana musim tanaman berkurangan.

“Sejujurnya, saya bahkan tidak tahu sama ada dapat menyediakan makanan untuk keluarga saya esok dan lusa,” kata Bilet.

Selain menjual hasil seni mereka, Orang Asli di Pulau Carey juga memperoleh pendapatan harian daripada menjual kelapa sawit dan getah.

Bagaimanapun, sekatan pergerakan menyaksikan jumlah pembeli berkurangan dan menyebabkan mereka hilang punca pendapatan. – 3 Februari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen