Bekas timbalan pengarah urusan Stone Masters diarah bayar balik RM11.54 juta


MAHKAMAH Rayuan semalam memutuskan memihak kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 bahawa bekas Timbalan Pengarah Urusan Stone Master Corporation Bhd Chan Chui Mei melanggar undang-undang sekuriti.

Hakim Lee Swee Seng, Hadhariah Syed Ismail dan Gunalan Muniandy menyatakan Mahkamah Rayuan tidak mendapati sebarang kesilapan dalam dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Chan menyebabkan kerugian secara salah kepada Stone Master, melanggar Seksyen 317A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), menurut SC dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Chan diperintah membayar RM11.54 juta dan penalti sivil sebanyak RM1 juta kepada SC.

Semasa perbicaraan, didapati Stone Master membayar beberapa wakil tempatan deposit tidak boleh dikembalikan syarikat asing berjumlah RM11.59 juta.

Bukti menunjukkan RM11.54 juta daripada deposit itu kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Chan, menurut SC.

Pada 28 September 2016, SC memperoleh injunksi sementara untuk menghalang Chan daripada berurusan dengan wang dalam akaun bank peribadinya sehingga nilai RM11.54 juta. – Bernama, 4 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen