Azam Baki berbohong, kata Guan Eng


Jumlah pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Azam Baki melebihi kemampuannya sebagai penjawat awam, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2022.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berbohong tentang isu pegangan saham untuk menutup kekayaan luar biasanya, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu mengulas kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC) semalam bahawa Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.

SC berkata bukti yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan beliau memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun tersebut.

Oleh itu tiada pelanggaran ke atas Seksyen 25(4)Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, jelas suruhanjaya itu.

“Jelas sekali ini konspirasi licik Azam untuk menyembunyikan kekayaan luar biasanya dan jumlah pegangan saham melebihi kemampuannya sebagai penjawat awam.

“Ini yang sepatutnya menjadi tumpuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mencari kebenaran berdasarkan fakta dan bukannya memanipulasi realiti bagi menutup kesalahan jenayah,” kata Lim dalam kenyataan.

Jelasnya, perdana menteri sepatutnya menggesa Azam segera bercuti sementara badan bebas menjalankan siasatan.

Bercakap kepada media semalam, Ismail Sabri berkata keputusan daripada badan professional seperti SC perlu diterima semua pihak dengan terbuka. 

“SC sudah buat keputusan… (perkara ini) serah pada SC kerana ia melibatkan pembelian syer. Jadi SC dah buat keputusan dan kenyataan menyatakan tidak ada kes terhadap dia (Azam), jadi kita terima keputusan SC,” katanya.

Pada sidang media pada 5 Januari lalu, Azam mengakui saham-saham dalam dua syarikat senaraian awam dibeli oleh adik beliau Nasir  di pasaran terbuka menggunakan namanya.

Menurut Azam saham dibeli dengan pembiayaan sendiri pada 2015 dan 2016 dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham terbabit.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) pada sidang media sebelum itu berkata perkara tersebut telah dijelaskan oleh Azam dalam menyuarat pada 24 November lepas. 

Pengerusinya Abu Zahar berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam dan menyatakan ketua SPRM itu bebas daripada sebarang salah laku.

Susulan pengakuannya itu, SC dalam satu kenyatan pada 6 Januari berkata akan meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Azam memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Siasatan atas kemungkinan berlaku perlanggaran Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), katanya. – 20 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen