SC sudah bersuara, tapi persoalan masih berlegar


SEMALAM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjelaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak membuat sebarang kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun sahamnya.

SC berkata bukti menunjukkan Azam ialah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu.

“Selain itu, Azam juga mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun berkenaan.

“Justeru, SC membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) daripada Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.” 

Pada 6 Januari lalu, Azam sendiri yang mendedahkan dalam sidang medianya bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri. Azam menambah, saham-saham yang dibeli adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.

“Saya ingin menegaskan bahawa dalam isu saham ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tuduhan terdapat ‘conflict of interest’ (percanggahan kepentingan) di pihak saya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas,” katanya.

Susulan itu, SC sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan akan meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Azam, untuk memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Menurut SC, di bawah Seksyen 25 SICDA, semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

“Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan,” tegas kenyataan itu. 

The Malaysian Insight turut melaporkan seorang broker saham yang mahu namanya dirahsiakan memberitahu pihaknya transaksi saham menggunakan akaun dagangan orang lain menyalahi undang-undang melainkan ia diisytihar terlebih dahulu.

Kenyataan SC semalam tidak merujuk kepada Seksyen 29A SICDA.

SC pernah melaporkan kesalahan di bawah Seksyen 29A SICDA dalam salah satu laporan tahunannya “Updates onh Criminal Prosecution in 2018”. 

Perdana Menteri Ismail Sabri meminta semua pihak menerima keputusan SC

Tetapi masih ada persoalan yang berlegar. – 20 Januari, 2022.  

* Hafiz Hassan, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen