GESAAN Perdana Menteri Ismail Sabri supaya semua pihak menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung akaun dagangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan wujud kepincangan dalam pentadbiran kerajaan, kata P Ramasamy.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata kenyataan Ismail Sabri semalam mengejutkan ketika banyak pihak menggesa supaya satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan terhadap Azam.
“Mulanya saya tertanya-tanya mengapa Ismail membisu. Saya menyangkakan beliau sedang mengumpul maklumat sebelum memberi kejutan.
“Ya, memang beliau buat kejutan, namun amat mengejutkan. Sekarang, barulah saya sedar Ismail mahu Suruhanjaya Sekuriti bersihkan nama Azam dulu sebelum beliau keluarkan kenyataan.
“Kenyataan beliau membebaskan Azam daripada sebarang salah laku atau rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemimpin DAP itu menambah, tadbir urus negara akan terus kekal di takuk lama jika ditadbir seorang perdana menteri seperti Ismail Sabri.
Bercakap kepada media semalam, perdana menteri berkata keputusan daripada badan professional seperti SC perlu berhubung akaun dagangan Azam perlu diterima semua pihak dengan terbuka.
“SC sudah buat keputusan… (perkara ini) serah pada SC kerana ia melibatkan pembelian syer. Jadi SC dah buat keputusan dan kenyataan menyatakan tidak ada kes terhadap dia (Azam), jadi kita terima keputusan SC,” katanya dipetik Bernama.
SC dalam kenyataannya semalam berkata urus niaga jual beli saham menggunakan akaun Azam dibuat atas arahan ketua pesuruhjaya SPRM itu, ia mendapati tiada pelanggaran ke atas Seksyen 25(4)Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.
Menurut suruhanjaya itu, bukti yang diperoleh antara lain menunjukkan Azam “dinamakan sebagai pemegang akaun dan mengawal akaun dagangan tersebut”.
SC turut mendapati Azam mengeluarkan arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti dari akaun tersebut.
Mengulas lanjut, Ramasamy mempersoalkan mengapa kenyataan SC langsung tidak menyentuh tentang adik Azam, Nasir, yang didakwa membeli saham menggunakan nama abangnya itu.
“Bukankah itu satu pembohongan terang-terangan bahawa Azam memegang saham bagi adiknya?” soalnya.
Malah beliau juga tertanya-tanya jika SC terpaksa membersihkan nama Azam memandangkan suruhanjaya itu sendiri sedang disiasat SPRM berkait dakwaan konflik kepentingan melibatkan pengurusan tertingginya. – 20 Januari, 2022.
Komen