AZAM Baki perlu menjawab persoalan mengenai etika berhubung akaun dagangan sahamnya walaupun pihak berkuasa menyatakan beliau tidak melanggar sebarang peraturan, kata ahli Parlimen.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mahu menyoal ketua pesuruhjaya agensi anti rasuah itu semalam namun ia dibatalkan.
“Kami berhak memanggil Azam Baki. Hasil siasatan SC (Suruhanjaya Sekuriti) tiada kaitan dengan siasatan PSSC,” kata ahli panel William Leong, yang juga ahli Parlimen Selayang.
SC pada Selasa berkata ia “tidak dapat membuat penemuan konklusif” sama ada ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melanggar undang-undang dalam membenarkan akaunnya digunakan oleh adiknya untuk saham yang dibeli pada 2015 dan 2016.
Bagaimanapun semalam, SC menjelaskan bahawa Azam adalah penama akaun saham dan beliau mempunyai kawalan penuh ke atas akaun saham tersebut.
Kepentingan PSCC terhadap Azam adalah berkaitan dengan kebimbangan berhubung etika seperti kemungkinan konflik kepentingan, dan pelanggaran peraturan perkhidmatan awam, kata seorang lagi ahli PSSC, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, kepada The Malaysian Insight.
Chan berkata pegangan saham Azam mesti dinilai dalam konteks peraturan perkhidmatan awam mengenai pemilikan saham.
Chan berkata PSSC mahu menyoal Azam berhubung Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993, yang mana Perkara 16 menyatakan bahawa tiada pegawai boleh melibatkan dirinya dalam pasaran komoditi, sama ada sebagai pembeli atau penjual, atau dalam sebarang peranan lain, dalam pasaran tempatan atau asing.
Peraturan ini juga memerlukan pegawai awam untuk mengisytiharkan semua aset mereka kepada ketua jabatan mereka.
Peraturan lain ialah Pekeliling Perkhidmatan 3/2002, yang mana Seksyen 23 melarang penjawat awam memiliki lebih daripada RM100,00 saham dalam mana-mana syarikat.
Pekeliling ini disebut oleh MP Subang R. Sivarasa apabila beliau membangkitkan isu mengenai pegangan saham Azam di Parlimen pada 14 Disember dan menggesa siasatan bebas dijalankan.
“Kami juga ingin membangkitkan isu itu, mengapa SC tidak melaporkan pelanggaran peraturan yang terang-terangan (penjawat awam yang memiliki saham berlebihan) dan jika tiada keperluan sedemikian untuk melaporkan, maka Parlimen mungkin perlu menggubal undang-undang atau meletakkan peraturan yang berkaitan mengenai perkara yang memerlukan SC memaklumkan perkhidmatan awam,” kata Chan.
PSSC sepatutnya bermesyuarat semalam untuk membincangkan pegangan saham Azam tetapi mesyuarat itu dibatalkan oleh pengerusi jawatankuasa, Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman selepas beliau menerima surat daripada Azam memberi amaran bahawa mesyuarat itu mungkin melanggar Peraturan Tetap Parlimen.
Leong, Chan dan dua lagi ahli PSSC daripada pembangkang tidak bersetuju dengan tindakan Abdul Latiff untuk menangguhkan terus mesyuarat itu berkata, perkara lain berkaitan isu yang sama boleh dibincangkan, walaupun Azam tidak menghadiri mesyuarat itu.
Saham yang dikatakan dimiliki Azam ialah 2.15 juta dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun yang sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya. Pada masa ini Azam adalah pengarah siasatan SPRM.
Pada sidang media 5 Januari lalu, Azam berkata saham itu dibeli oleh adiknya Nasir menggunakan akaun dagangannya (Azam), dan kemudiannya dipindahkan kepada adiknya itu, menyebabkan beliau tidak mempunyai faedah kewangan.
Menurutnya beliau memaklumkan kepada pihak atasan mengenai pembelian itu dan mereka tidak menimbulkan sebarang isu.
Berdasarkan penjelasannya, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang “membersihkan” ketua pesuruhjaya itu daripada salah laku, walaupun terdapat gesaan untuk siasatan luar yang bebas.
Pada 6 Januari, SC berkata pihaknya akan menyoal Azam berhubung potensi pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang menetapkan bahawa setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah dalam nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau penama yang diberi kuasa.
Dua minggu kemudian, SC memberikan penemuan “tidak konklusif"nya, yang menyebabkan Azam mengeluarkan kenyataan menyatakan rasa terima kasih kerana “dibersihkan” daripada sebarang salah laku. – 20 Januari, 2022.
Komen