Azam Baki bersyukur dengan keputusan SC


Azam Baki akan meneruskan tugasnya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM susulan keputusan Suruhanjaya Sekuriti hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2022.

AZAM Baki merakamkan rasa syukur selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan siasatan terhadapnya didapati tidak melanggar undang-undang mengenai urus niaga saham.

“Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti yang telah mendapati tiada kesalahan yang dilakukan oleh saya. 

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan. Oleh yang demikian, pihak Suruhanjaya telah menutup fail inkuiri tersebut.” 

Tambahnya, beliau akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai ketua SPRM. 

“Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat,” kata Azam dalam kenyataannya.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu disiasat oleh SC selepas awal bulan ini mendedahkan akaun dagangan sahamnya diguna oleh adiknya untuk membeli saham dalam dua syarikat senaraian awam pada 2015.

Awal hari ini, SC dalam satu kenyataan berkata sudah selesai menyiasat perkara itu dan tidak dapat merumuskan dengan muktamad adanya pelanggaran undang-undang mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Peruntukan itu menetapkan sesebuah akaun urus niaga saham hendaklah dibuka atas atas nama pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.

“SC sudah menamatkan siasatannya dan berdasarkan keterangan yang ada, SC tidak dapat merumuskan dengan muktamad adanya pelanggaran Seksyen 25(4) SICDA,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataannya.

Pada 6 Januari, SC mengumumkan akan mendapatkan penjelasan daripada Azam selepas beliau mendedahkan akaun urus niaga miliknya dipakai oleh adiknya Nasir Baki untuk membeli saham pada 2015.

Saham itu kemudian sudah dipindahkan kepada adiknya.

Beliau didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd serta 1.93 juta sama Gets Global Sdn Bhd pada 2015 dan seterusnya 1.02 juta saham lagi pada tahun berikutnya.

Azam pada masa itu memegang jawatan pengarah penyiasatan SPRM.

Penjelasan Azam sebelumnya diterima oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang, yang kemudian merumuskan Azam tidak melakukan sebarang kesalahan.

Azam menjelaskan perkara itu kepada LPPR pada 24 November, selepas beliau didakwa memiliki jumlah saham yang dikatakan melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam.

Azam juga berkata beliau sudah memaklumkan pihak atasan mengenai pembelian saham adiknya pada 2015.

Beberapa pihak bagaimanapun mempertikaikan sumber wang yang digunakan untuk membeli saham itu.

Mereka mendesak Azam supaya bercuti rehat atau letak jawatan sementara siasatan bebas dijalankan terhadapnya.

Azam menegaskan beliau tidak akan letak jawatan dan menyerahkan kedudukannya kepada Yang di-Pertuan Agong. – 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen