SC selesai siasat Azam Baki, tiada pelanggaran undang-undang


SC hari ini memaklumkan ia sudah selesai menyiasat kes Azam Baki (gambar) mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA). – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2022.

SURUHANJAYA Sekuriti (SC) tidak dapat merumuskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki melanggar undang-undang apabila membenarkan akaunnya digunakan oleh orang lain untuk urus niaga saham, kata agensi itu mengumumkan hasil siasatannya hari ini.

Dalam satu kenyataan, SC hari ini memaklumkan ia sudah selesai menyiasat kes Azam mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Peruntukan itu menetapkan sesebuah akaun urus niaga saham hendaklah dibuka atas atas nama pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.

“SC sudah menamatkan siasatannya dan berdasarkan keterangan yang ada, SC tidak dapat merumuskan dengan muktamad adanya pelanggaran Seksyen 25(4) SICDA,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataannya.

Pada 6 Januari, SC mengumumkan akan mendapatkan penjelasan daripada Azam selepas beliau mendedahkan akaun urus niaga miliknya dipakai oleh adiknya Nasir Baki untuk membeli saham pada 2015.

Saham itu kemudian sudah dipindahkan kepada adiknya.

Beliau didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd serta 1.93 juta sama Gets Global Sdn Bhd pada 2015 dan seterusnya 1.02 juta saham lagi pada tahun berikutnya.

Azam pada masa itu memegang jawatan pengarah penyiasatan SPRM.

Penjelasan Azam sebelumnya diterima oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang, yang kemudian merumuskan Azam tidak melakukan sebarang kesalahan.

Azam menjelaskan perkara itu kepada LPPR pada 24 November, selepas beliau didakwa memiliki jumlah saham yang dikatakan melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam.

Azam juga berkata beliau sudah memaklumkan pihak atasan mengenai pembelian saham adiknya pada 2015.

Beberapa pihak bagaimanapun mempertikaikan sumber wang yang digunakan untuk membeli saham itu.

Mereka mendesak Azam supaya bercuti rehat atau letak jawatan sementara siasatan bebas dijalankan terhadapnya.

Azam menegaskan beliau tidak akan letak jawatan dan menyerahkan kedudukannya kepada Yang di-Pertuan Agong. – 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen