SURUHANJAYA Sekuriti (SC) perlu memberi penjelasan lanjut dan bukti mengenai keputusannya yang Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak melanggar undang-undang mengenai urus niaga saham, kata beberapa kumpulan masyarakat sivil.
Walaupun SC berkata Azam mempunyai kawalan terhadap akaun dagangannya, ia masih belum membuktikan adiknya tidak terlibat dalam pembelian saham itu, kata mereka.
“SC dengan jelas menyatakan akaun dagangan saham itu dikendalikan oleh Azam sendiri. Ini bercanggah dengan kenyataan akhbar beliau sebelum ini yang menyebut akaun itu digunakan oleh adiknya bagi mengelakkan konflik kepentingan.
“Dalam apa pun keadaan, SC harus memperjelaskan sama ada sebarang saham dalam akaun dagangan Azam dibeli dan dibayar oleh adiknya.
“Jika benar, perlu ada dokumen yang disempurnakan oleh Azam yang membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangannya.,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan tersebut ialah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Transparency International Malaysia, C4, RasuahBusters, Gabungan Bertindak Malaysia, Bersih, dan Undi 18.
Siasatan SC mendapati Azam mempunyai kawalan penuh ke atas akaun dagangannya dan tiada proksi, sekali gus membebaskannya daripada sebarang pelanggaran mana-mana peraturan.
Ini nampaknya bercanggah dengan pengakuan Azam yang adiknya Nasir menggunakan akaun dagangnya untuk membeli saham dalam dua syarikat senaraian awam pada 2015.
Azam berkata saham itu kemudiannya dipindahkan kepada adiknya, menyebabkan beliau tidak mendapat faedah kewangan.
Kumpulan itu berkata jika Azam mempunyai kawalan tunggal ke atas akaun dagangannya dan dengan itu memiliki saham tersebut, beliau akan melanggar peraturan yang mengawal pemilikan ekuiti oleh pegawai awam, yang tidak boleh melebihi RM100,000.
Had ini dinyatakan dalam Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3/2002 – Pemilikan dan Pengisytiharan Aset oleh Pegawai Awam, kata kumpulan itu.
Seksyen 10 Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 juga dengan jelas menetapkan keperluan untuk penjawat awam mengisytiharkan sebarang pembelian saham kepada Ketua Jabatan mereka.
Kumpulan itu berkata tindakan Azam yang didakwa melanggar peraturan ini memerlukan tindakan diambil.
“Sekiranya ini benar, maka Azam, pada 2015 di setiap masa yang berkenaan, selaku pengarah siasatan SPRM, membeli saham melebihi RM100,000.00, yang mana ia melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata mereka.
“Sehingga kini, masih tiada pengesahan sama ada pengisytiharan aset dilaksanakan atau tidak.
“Sekiranya Azam sebenarnya telah melanggar pekeliling kerajaan, tindakan mesti diambil,” tambah mereka.
Kumpulan itu berkata jika tiada sebarang akibat kepada tindakan Azam, maka prosedur yang sewajarnya mesti dilaksanakan supaya lebih jelas mengenai badan kerajaan yang bertanggungjawab memantau pematuhan peraturan tersebut.
NGO itu juga mengulangi gesaan supaya siasatan bebas dilakukan terhadap pembelian saham Azam dan turut meminta ketua SPRM itu berehat sementara sehingga terbukti beliau tidak melanggar sebarang peraturan.
“Kami mengulangi desakan untuk siasatan bebas terhadap pembelian saham Azam, kerana ini juga menimbulkan persoalan serius berhubung dengan konflik kepentingan yang berlaku, dalam pembelian saham melibatkan anggota tertinggi SPRM.
“Demi memulihkan integritinya serta mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap badan pencegah rasuah itu, Azam perlu berehat sementara sehingga siasatan yang telus dapat membuktikan secara konklusif, tanpa sebarang keraguan munasabah, bahawa beliau tidak melanggar mana-mana peraturan sebagai penjawat awam,” kata mereka. – 23 Januari, 2022.
Komen