Ain Husniza balas saman guru dengan tuntutan RM5 juta, kata peguam


Elill Easwaran

Pelajar Ain Husniza yang sebelum ini menularkan video TikTok mendedahkan guru pendidikan jasmaninya membuat lawak rogol akan menyaman balik gurunya itu dengan tuntutan sebanyak RM5 juta kerana kesulitan yang terpaksa dialaminya, kata peguamnya Sankara Nair. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Ogos, 2021.

PELAJAR Ain Husniza Saiful Nizam akan menyaman balik guru yang membuat lawak rogol sebanyak RM5 juta kerana kesulitan yang terpaksa dialaminya, kata peguamnya Sankara Nair hari ini.

“Saya sudah keluarkan surat kepada peguam guru itu untuk beritahu kami akan lawan balik saman itu,” kata Sankara kepada wartawan di balai polis Sungai Buloh di mana Ain disoal polis.

Turut hadir ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah yang datang memberi sokongan kepada pelajar Tingkatan Lima itu yang mendedahkan guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) telah membuat lawak rogol dalam kelas.

Dua hari lepas Ain Husniza mendedahkan dia menerima notis tuntutan RM1 juta sebagai pampasan kerana telah memfitnah guru tersebut.

Guru itu turut membuat laporan polis terhadap Ain Husniza, yang menyebabkan dia disoal siasat oleh polis hari ini.

Walaupun dikenakan notis tuntutan, pelajar itu memberitahu wartawan hari ini dia akan terus berjuang menjadikan sekolah tempat yang lebih selamat.

“Ini adalah hak kita sebagai pelajar untuk rasa selamat di sekolah dan itulah yang saya perjuangkan.

“Kepada semua orang yang rasa apa yang saya rasa di sekolah, saya harap anda keluar dan bersuara, suara anda perlu didengar,” katanya.

Ain Husniza (tengah) dan peguamnya Sankara Nair (kanan) ketika membuat kenyataan media di balai polis Sungai Buloh petang ini, selepas Ain disoal di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Ogos, 2021.

Sementara itu, Maria membantah keputusan polis untuk membuat siasatan terhadap Ain Husniza.

“Tindakan seperti itu seolah memberitahu guru-guru boleh buat lawak rogol di sekolah,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya itu.

Sementara itu, Kok berkat beliau pernah menjadi mangsa gangguan seksual di Dewan Rakyat.

“Cara sekolah melayan Ain Husniza sangat tidak sesuai. Dia tidak perlu dilayan dan disoal siasat kerana dia masih budak sekolah,” kata ahli Parlimen Seputeh itu.

Ain, yang lantang memulakan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace di media sosial, mendakwa pada April guru PJPK dia di SMK Puncak Alam, Selangor membuat jenaka rogol. 

Guru itu, menurut video TikTok Ain, dikatakan memberitahu pelajar lelaki dalam kelas berkenaan jika mahu merogol, jangan rogol budak bawah 18 tahun.

Selepas video itu tular, kementerian pendidikan memindahkan guru tersebut ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sementara menunggu siasatan.

Ayah Ain Husniza Saiful Nizam Abdul Wahab telah membuat laporan polis terhadap guru tersebut, namun semalam polis mengesahkan tiada tindakan lanjut dikenakan terhadap guru tersebut.

Petang ini, tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace dan #FreeAin menjadi trend di Twitter malah petisyen dalam talian telah dimulakan bagi “membebaskan” dia dari tindakan undang-undang oleh guru itu. – 6 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen