Pandelela turut sokong Ain jadikan sekolah selamat


Pandelela mengakui pernah dikecam, dituduh "diva" selain pernah memulakan pergerakan untuk menjadikan sukan selamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2021.

RATU terjun negara Pandelela Rinong secara terbuka menyuarakan sokongan kepada Ain Husniza Saiful Nizam, 17, yang mendedahkan jenaka rogol oleh gurunya melalui aplikasi TikTok yang kemudian tular.

Semalam di Facebook, Ain dikutuk dan digambarkan sebagai “anak setan pakai tudung”, mencetuskan kekecohan di kalangan warganet, meminta kementerian pendidikan mengenakan tindakan.

Komen itu dibuat oleh seorang wanita dipercayai guru besar di sebuah sekolah awam.
 
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyeru agar tindakan tegas diambil terhadap wanita itu. Namun, ada yang mendakwa komen itu sebenarnya dibuat oleh anak lelaki autis wanita itu.

Pandelela, baru-baru ini memenangi pingat emas pertama di Malaysia dalam pertandingan 10 meter wanita di Piala Dunia Renang Fina antara yang secara terbuka menunjukkan setiakawan terhadap Ain.

Melalui Twitter, beliau turut dilabel sebagai “diva” ketika memulakan pergerakan untuk menjadikan sukan selamat. Tambahnya penjenamaan pergerakan itu mempunyai “makna ganda”.

“Ain yang dikasihi, saya menasihatkan anda supaya berjaga-jaga kerana anda mungkin disabotaj jika anda tidak berhati-hati.

“Namun, teruskan bersuara untuk masa depan kita!” katanya, menandatangani hantarannya dengan #MakeSchoolASaferPlace, tanda pagar diilhami oleh Ain.

Baru-baru ini sekolah Ain memberi surat amaran kerana tidak hadir ke kelas selama beberapa hari walaupun ayahnya, Saiful Nizam Ab Wahab, telah menjelaskan kepada pihak pengurusan sekolah anak perempuannya merasa terancam dan tidak selamat di sekolah.

Menurut Malaysiakini, pelajar Tingkatan 5 itu boleh dibuang sekolah jika dia masih memanjangkan ketidakhadirannya tanpa mengemukakan alasan kepada pihak sekolah.

Semalam Ain mendedahkan di Twitter, sekolahnya tidak mengambil tindakan terhadap guru yang membuat jenaka rogol dan rakan sekelasnya yang membuat ancaman rogol terhadapnya.

“Saya tak dapat gambarkan apa yang saya rasa sekarang. Saya sangat patah hati.

“Apa yang saya buat cuma berusaha memperbaiki sesuatu, buat perkara yang benar,” keluhnya.

Hantaran video TikTok Ain mendakwa seorang guru pendidikan jasmani di sekolahnya membuat jenaka rogol itu, dilihat bertujuan mendorong pelajarnya rogol.

Kisahnya itu memberi inspirasi kepada pelajar dan bekas pelajar lain untuk bercakap mengenai insiden gangguan seksual pada masa lalu, menggunakan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace.

Selepas itu, dilaporkan Ain menerima ugutan rogol daripada rakan sekelas lelaki. Pelajar lelaki itu kemudian meminta maaf setelah laporan polis dibuat ayah Ain. Dikatakan ayahnya itu telah terima permintaan maaf pelajar itu. – 9 Mei, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen