Pelajar Ain Husniza dapat notis tuntutan RM1 juta kerana memfitnah guru


Ayahnya, Saiful Nizam berkata mereka telah mendapat notis tuntutan itu daripada bekas guru PJPK Ain yang antara lain menuntut permohonan maaf dan wang ganti rugi sebanyak RM1 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2021.

PELAJAR Ain Husniza Saiful Nizam yang memuat naik video TikTok tular menuduh guru lelakinya membuat jenaka rogol telah menerima surat tuntutan kerana memfitnah guru tersebut.

“Hari ini Ain tiba-tiba terima surat tuntutan atas ‘pernyataan-pernyataan fitnah’,” kata Ain, 17, melalui ciapan di Twitternya.

Ain dan ibu bapanya dinamakan sebagai responden dalam surat tersebut yang menuntut, antara lain, mohon maaf dan ganti rugi RM1 juta.

Ayahnya, Saiful Nizam berkata di Twitter, mereka menerima surat tuntutan tersebut daripada Tetuan Rasshidi Ema & Yung.

“Atas nasihat peguam, kami tidak akan memberikan sebarang komen setakat ini,” katanya di Twitter.

Beliau, bagaimanapun, berkata notis tuntutan itu datang dari guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) sekolah lama anaknya.

Ain, yang lantang memulakan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace di media sosial, mendakwa pada April guru PJPK dia di SMK Puncak Alam, Selangor membuat jenaka rogol. 

Guru itu, menurut video TikTok Ain, dikatakan memberitahu pelajar lelaki dalam kelas berkenaan jika mahu merogol, jangan rogol budak bawah 18 tahun.

Selepas video itu tular, kementerian pendidikan memindahkan guru tersebut ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sementara menunggu siasatan.

Ain juga telah memohon untuk pindah sekolah. – 4 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen