SEMUA penduduk Wuhan sekali lagi akan menjalani ujian saringan Covid-19 selepas jangkitan tempatan dikesan di bandar itu, kata pihak berkuasa hari ini.
Ujian pengesanan asid nukleik akan dilakukan ke atas 11 juta penduduk, kata Pegawai Kanan Wuhan Li Tao pada sidang media.
Pihak berkuasa semalam umum tujuh kes jangkitan tempatan telah dikesan dalam kalangan pekerja asing di bandar Wuhan, selepas setahun tidak melaporkan kes. Kes pertama mula dikesan di bandar itu pada Disember 2019, sebelum menular ke seluruh dunia.
Sejak kes pertama itu dikesan, China melaksanakan perintah berkurung di Wuhan bagi membendung jangkitan.
China hari ini mencatat 61 lagi jangkitan tempatan membabitkan varian Delta di berpuluh bandar, selepas jangkitan melibatkan pekerja pembersih lapangan terbang di Nanjing menyebarkan jangkitan di seluruh negara.
Bandar utama termasuk Beijing kini menjalankan ujian saringan ke atas jutaan penduduk, selain menutup kawasan perumahan dan melaksanakan perintah kuarantin kepada kontak rapat.
Langkah sama turut dilaksanakan di bandar pelancongan Zhangjiajie di wilayah Hunan dan bandar Zhuzhou yang mempunyai lebih dua juta penduduk.
Jangkitan di lapangan terbang Nanjing merebak ke Hunan bulan lalu selepas individu yang dijangkiti menghadiri pertunjukan teater di Zhangjiajie. – AFP, 3 Ogos, 2021.
Komen