PRESIDEN Joe Biden semalam mengarahkan agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) kemuka laporan mengenai asal usul virus Covid-19, yang pertama kali dikesan di China, dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Agensi perisikan perlu melipat gandakan usaha untuk mengumpul dan menganalisis maklumat yang boleh menyimpulkan asal usul Covid-19, dan lapor kepada saya dalam tempoh 90 hari,” kata Biden dalam kenyataan yang dikeluarkan White House.
Presiden itu mengarahkan demikian selepas pelbagai banyak spekulasi dicetuskan mengenai asal usul virus Covid-19, yang sebelum ini didakwa disebarkan dari haiwan di sebuah pasar di Wuhan, China atau dari makmal di bandar itu.
China menafikan teori berkenaan, sehingga mengeruhkan lagi hubungannya dengan AS.
Biden berkata agensi perisikan telah diminta menyerahkan laporan pada Mac lalu, termasuk kemungkinan sama ada virus Covid-19 menjangkiti manusia dari hawian yang sudahpun dijangkiti atau dari luar makmal.
“Sehingga ke hari ini, perisikan AS cuba menggabungkan dua senario tersebut, tetapi belum dapat membuat kesimpulan,” katanya.– AFP, 27 Mei, 2021.
Komen