Hipotesis asal usul Covid-19 masih terbuka, kata WHO


Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pasukan pakar badan itu menjalankan 'tugas amat penting dalam keadaan yang amat sukar' semasa di Wuhan. – Gambar EPA, 13 Februari, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) berkata semua hipotesis tentang asal-usul Covid-19 masih terbuka susulan siasatan kumpulan pakarnya di Wuhan, China gagal mengenal pasti punca virus itu.

Kumpulan pakar WHO menolak teori bahawa virus Covid-19 tersebar dari sebuah makmal virologi di Wuhan.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pasukan pakar WHO menjalankan “tugas amat penting dalam keadaan yang amat sukar” semasa di Wuhan.

“Beberapa persoalan dibangkitkan sama ada terdapat sebilangan hipotesis diketepikan. Selepas bercakap dengan beberapa ahli pasukan, saya ingin mengesahkan bahawa semua hipotesis masih terbuka serta memerlukan analisis serta kajian lanjut.

“Sesetengah tugas itu mungkin berada di luar bidang kuasa dan skop misi ini. 

“Kami sentiasa tekankan bahawa misi itu tidak akan menemui semua jawapan, namun telah menambah maklumat penting yang membolehkan kita semakin memahami asal usul virus tersebut,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri ketua misi ke Wuhan, Peter Ben Embarek di Geneva.

Embarek ketika ditemui pemberita di Wuhan pada Selasa berkata pasukannya menolak teori kebocoran makmal Wuhan sebagai salah satu penyebab penularan Covid-19 seperti yang dicetuskan bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini. 

Pakar percaya virus Covid-19 berasal dari kelawar yang kemudian disebarkan kepada manusia melalui mamalia lain.

Kes pertama Covid-19 dikesan di Wuhan pada Disember 2019. Lebih 2.3 juta orang maut di seluruh dunia akibat virus itu sehingga kini.

Tedros pada sidang media semalam berkata beliau berharap laporan rumusan daripada siasatan pakar di Wuhan akan diterbitkan minggu depan, disusuli laporan akhir yang penuh dalam masa beberapa minggu lagi.– AFP, 13 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen