PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) semalam berkata terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan dari misi mengesan asal usul virus Covid-19 di Wuhan, China.
Selepas lebih setahun kes pertama dikesan di China, pasukan pakar WHO tiba di Wuhan pada 14 Januari lalu untuk mengkaji punca virus yang telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia.
“Sudah tentu masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan dari mana asalnya virus ini, sama ada bermula dari China atau dari luar,” kata Pengarah Program Kecemasan WHO Michael Ryan pada sidang media di Geneva semalam.
“Ada pelbagai pemerhatian saintifik dari seluruh pelusuk dunia… semuanya penting kerana dari situ kita dapat gambaran.
“Bagaimanapun, ia ibarat susun suai gambar. Anda tidak boleh katakan apa-apa hanya dengan cuma melihat hanya dari satu cantuman.”
Sehingga kini, virus Covid-19 telah menjangkiti berjuta-juta orang dan menyebabkan lebih dua juta orang maut serta melumpuhkan ekonomi.
WHO berkata siasatan kumpulan pakarnya di Wuhan perlu bermula di mana kes pertama dikesan, disusuli petunjuk seterusnya.
“Kita mulakan dari situ, ikut petunjuk, berdasarkan sains. Kumpulan kami berada di lapangan, setakat ini mereka bekerja dengan baik bersama rakan-rakan di China. Kami sedang meneliti data,” kata Ryan.
“Data ini akan jadi petunjuk ke fasa seterusnya, ke mana seterusnya untuk mengesan asal usul virus ini.
“Masih terlalu awal untuk buat kesimpulan, tetapi kami percaya kami dalam fasa kemajuan dan berharap dapat meneruskan usaha ini demi kepentingan kesihatan masyarakat di masa hadapan.” – AFP, 23 Januari, 2021.
Komen