Pasukan penyiasat WHO lawat pasar Wuhan


Pasukan WHO tiba di pasar Huanan untuk mengorek rahsia kewujudan Covid-19 walaupun dipantau ketat oleh pihak berkuasa komunis China. – Gambar AFP, 31 Januari, 2021.

SEPASUKAN pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat Covid-19 melawat pasar Wuhan di mana salah satu kluster jangkitan pertama dilaporkan muncul lebih setahun yang lalu.

Pasukan itu tiba di pasar makanan laut Huanan, yang telah ditutup sejak Januari tahun lalu, dengan memandu masuk ke premis itu yang dijaga pengawal keselamatan, kata wartawan yang berada di situ.

Misi itu sebelum ini ditunda oleh China dan ditekan dengan karenah politik, diberikan kelonggaran untuk menyelidiki bagaimana Covid-19 itu boleh merebak dari haiwan kepada manusia.

Bagaimanapun, pegawai WHO sudah bersedia dengan kegagalan untuk menemukan sumber virus yang telah membunuh lebih dua juta rakyat dunia ini, selain menjatuhkan sistem ekonomi global.

Hari ini, pasukan WHO tiba di pasar Huanan untuk mengorek rahsia kewujudan Covid-19 walaupun dipantau ketat oleh pihak berkuasa komunis China.

Setakat ini, para pakar tidak menjawab apa-apa walaupun masyarakat dunia menunggu keputusan mereka.

Awal minggu ini, media negara itu Global Times menerbitkan laporan yang cuba menafikan Huanan sebagai pusat penyebaran wabak itu dengan mendakwa “penyiasatan” telah membuktikan pasar itu bukanlah sumber wabak tersebut. – AFP, 31 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen