China nafi penyelidik Wuhan sakit sebelum wabak Covid-19


China menyangkal laporan bahawa penyelidik di Wuhan jatuh sakit tidak lama sebelum virus Covid-19 muncul. – Gambar EPA, 25 Mei, 2021.

CHINA semalam menyangkal laporan bahawa penyelidiknya di Wuhan jatuh sakit tidak lama sebelum virus Covid-19 muncul di wilayah itu sehingga menular ke seluruh dunia.

Jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian menafikan laporan Wall Street Journal, menyifatkannya sama sekali tidak benar.

Ahad lalu, Wall Street Journal memetik laporan perisikan Amerika Syarikat (AS) berkata tiga penyelidik Institut Virologi Wuhan mula mengalami gejala sama seperti Covid-19 pada November 2019.

Lijian ketika diminta mengulas laporan tersebut berkata institut itu mengesahkan penyelidik mereka tidak pernah terdedah dengan virus Covid-19 sebelum 30 Disember 2019.

Sejak kes pertama dikesan di Wuhan pada Disember 2019, virus itu merebak dengan menjangkiti lebih 3.4 juta orang di seluruh dunia sehingga melumpuhkan ekonomi.

Beijing berulang kali menolak teori bahawa virus membawa maut itu berasal dari salah satu makmalnya.

Teori itu dicetuskan antara lain oleh pentadbiran bekas presiden AS Donald Trump.

Pada Mac lalu, sekumpulan penyelidik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan saintis China menjalankan siasatan selama empat minggu di Wuhan, bagi mengkaji asal usul virus Covid-19.

WHO dalam laporannya berkata kemungkinan virus Covid-19 berasal dari makmal adalah tidak munasabah. – AFP, 25 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen