Bekas kru kabin MAS terima 40 tawaran kerja


Alfian Z.M. Tahir

Turut bersama Kok, presiden dan naib setiausaha Kesatuan Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin dan Shashi Kumar. – Gambar Nufam, 6 Mac, 2021.

BEKAS pramugari Siti Noor Madzariah terima lebih daripada 40 tawaran kerja selepas ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok memuat naik kisah dan keadaannya.

Noor Madzariah, ibu kepada lima anak, pernah berkhidmat sebagai anak kapal kabin Malaysia Airlines dan telah kehilangan pekerjaannya enam tahun lalu.

Pada 4 Mac, Kok di Facebook menyiarkan kisah Noor Madzariah mengunjunginya di pejabatnya pada Khamis lalu untuk bercerita kesusahannya. Beliau tidak dapat mencari kerja tetap dan mengalami kesukaran untuk menjaga anak-anaknya, malah kini beliau tidak dapat membayar sewa rumah dan bayaran ansuran untuk motornya.

“Sejak saya siarkan kisahnya di Facebook saya, pejabat saya dapat banyak panggilan dari orang ramai yang menawarkan pekerjaan dan bantuan kewangan kepadanya.

“Saya juga memberinya senarai lebih dari 40 tawaran pekerjaan dan telah menasihatinya memilih kerja yang sesuai dari senarai itu,” kata Kok dalam catatan Facebook baharu setelah mengunjungi Noor Madzariah di rumahnya hari ini.

Turut bersama Kok, presiden dan naib setiausaha Kesatuan Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin dan Shashi Kumar.

“Kedua-dua pemimpin Nufam dan saya ingin mengucapkan terima kasih banyak buat rakyat Malaysia atas sokongan dan keprihatinan mereka,” tambah Kok.

Noor Madzariah juga telah menerima banyak panggilan daripada bekas kru syarikat penerbangan dan rakyat Malaysia yang ingin membantunya.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) juga berkata akan meningkatkan bantuan bulanan kepada Noor Madzariah dari RM300 sekarang dan memberikan bantuan kewangan menolong membayar sewa rumahnya di pangsapuri di Jalan Klang Lama. – 6 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen