Timbalan pengerusi PKR Sarawak keluar parti


Desmond Davidson

Keluarnya Baharuddin daripada PKR dilihat boleh menyebabkan ahli PKR  keluar parti secara besar-besaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2020.

TIMBALAN Pengerusi PKR Sarawak yang digantung, Baharuddin Mokshen memutuskan untuk keluar dari parti yang dibina beliau selama 14 tahun.

Baharuddin, atau lebih dikenali sebagai Baha berkata beliau tidak menyerahkan surat pengunduran diri secara rasmi namun keluar parti bagi membantah surat tunjuk sebab dan membiarkan tempoh rayuannya berakhir.

“Saya dah move on (tak peduli lagi). Tidak ada jalan untuk patah balik sekarang,” kata ketua PKR Petra Jaya itu kepada The Malaysian Insight.

Sikap setia kepada bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, menyebabkan Baharuddin digantung dan diarahkan untuk memberikan surat tunjuk sebab pada 5 Jun setelah beliau dituduh melakukan aktiviti mensabotaj parti dengan mengambil bahagian dalam ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Februari lalu menyebabkan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan.

Baharuddin berkata bahawa keluarnya beliau daripada PKR boleh menyebabkan ahli PKR  keluar parti secara besar-besaran terutama anggota Melayu-Melanau di sekurang-kurangnya 15 dari 29 kerusi DUN Melayu-Melanau.

Beliau berkata bahawa anggota PKR Melayu-Melanau, termasuk dirinya, telah didekati sebuah parti politik yang memerintah, namun beliau menolak tawaran menyertai parti itu.

Beliau juga menolak untuk bergabung dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebuah parti berbilang kaum yang terdiri daripada bekas anggota Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Beliau berkata bahawa tawaran tersebut ditolak kerana tidak ada jaminan bahawa Melayu-Melanau yang akan keluar dari PKR akan dijadikan calon dalam pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.

Selain menyokong Azmin, Baharuddin berkata beliau juga menyokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang merupakan naib presiden PKR dan berpaling tadah bersama Azmin pada akhir Februari lalu.

Kedua-dua pemimpin parti itu dan sembilan ahli parlimen PKR yang lain keluar parti sebagai sebahagian daripada Langkah Sheraton bagi menjatuhkan kerajaan PH dan membentuk kerajaan baharu dengan gabungan politik dianggotai Bersatu, Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Baharuddin turut berkata bahawa beliau masih menyokong bekas ahli parlimen PKR lain yang kini berada dalam parti kerajaan - Ali Biju, Ahli Parlimen Saratok dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, dan Willie Mongin, Ahli Parlimen Puncak Borneo dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

“Jadi saya tetap akan menyokong dan membantu mereka,” kata Baharuddin.

Biju dan Mongin adalah ahli Parlimen bebas secara teknikal namun menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Baharuddin berkata beliau hilang kepercayaan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, beliau mendakwa Anwar membiarkan parti PKR “dirampas oleh orang-orang yang tidak pernah memperjuangkan reformasi politik” ketika dia (Anwar) berada di penjara. – 20 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen