Adakah Umno akan serah kerusi kepada Bersatu?


Chan Kok Leong

Umno berminat pertahankan kerusi pemimpinnya yang keluar parti untuk sertai Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan sebagai parti Melayu Islam utama di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

BAIK tahun ini atau tahun depan, pilihan raya umum lebih awal sebelum mandat berakhir pada Julai 2023 nampaknya sudah tidak dapat dielak.

Barisan Nasional (BN), gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dengan jumlah ahli Parlimen paling banyak iaitu 42 orang, cenderung mahukan pilihan raya semula dan boleh menyebabkan ia berlaku hanya dengan menarik diri dari kerajaan.

Kenyataan oleh pemimpin kanan Umno antaranya timbalan presiden Mohamad Hasan dan naib presiden Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengenai kerajaan Perikatan tidak stabil menguatkan lagi spekulasi pilihan raya sudah tidak dapat dielak.

Apa yang tinggal ialah rundingan kerusi dalam Perikatan.

Perikatan terdiri daripada Bersatu (32), BN (42), PAS (18), Gabungan Parti Sarawak (18) dan empat wakil rakyat bebas dari Sabah dan Sarawak.

Walaupun kerajaan diketuai oleh presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, parti itu hanya ada tujuh kerusi asal yang dimenangi atas tiket Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 2018.

Baki 25 kerusi ialah wakil rakyat yang belot dari Umno (15) dan PKR (10), yang diketuai bekas timbalan presidennya yang dipecat Mohamed Azmin Ali.

Untuk memahami bagaimana rumitnya rundingan kerusi dalam Perikatan, The Malaysian Insight meneliti kerusi yang disandang oleh Bersatu, berdasarkan maklumat pilihan raya umum lalu.

Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali merupakan pemimpin Umno yang pertama keluar parti untuk sertai Bersatu pada Jun 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

Kerusi tiket BN

Selepas BN kalah pada Mei 2018, Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali yang juga sekarang timbalan menteri kesihatan menjadi anggota Dewan Rakyat Umno pertama keluar parti untuk menyertai Bersatu pada Jun 2018.

Beliau disusuli Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin yang masuk Bersatu masing-masing pada Oktober dan Disember berikutnya.

Dua belas lagi ahli Parlimen Umno menyusul pada 2019, iaitu tujuh dari Semenanjung Malaysia dan lima dari Sabah, menjadikan Bersatu mempunyai tambahan 15 kerusi di Dewan Rakyat.

Selain Noor Azmi, Mas Ermieyati, dan Mustapa, 10 daripada 15 kerusi itu di Semenanjung Malaysia dengan Perak paling banyak iaitu tiga (Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang), sementara dua dari Kelantan (Jeli dan Tanah Merah).

Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, dan Johor masing-masing satu kerusi.

Lima kerusi lagi dari Sabah iaitu Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, dan Libaran.

Margin kemenangan

Dari perspektif margin kemenangan, tujuh kerusi – Hulu Terengganu, Tasek Gelugor, Bagan Serai, Sabak Bernam, Kudat, Sipitang dan Libaran – mempunyai majoriti kurang daripada 5%.

Majoriti paling tipis di Tasek Gelugor dan Bagan Serai yang dimenangi masing-masing dengan 81 dan 172 undi.

Majoriti paling besar dimenangi oleh wakil rakyat lima penggal Ronald Kiandee di Beluran (24.9%), 5-term MP Abdul Latiff Ahmad in Mersing (22.63%) and Mas in Masjid Tanah (19.28%).

Kecuali Bagan Serai dan Bukit Gantang, semua kerusi lain sebelumnya dipegang oleh Umno dengan sesetengahnya sejak 1963 lagi seperti Tanah Merah dan Sabak Bernam.

Umno menang Bagan Serai antara 1974 dan 2008 sebelum kalah kepada PKR dan menang semula pada 2013 dan 2018. Bukit Gantang pula hanya terlepas dari Umno pada 2008, sekali lagi dalam pilihan raya kecil 2009 dan pada 2013, sebelum dirampas semula pada pilihan raya umum yang lepas.

Berbanding kerusi lain, Bagan Serai dan Bukit Gantang juga mempunyai jumlah pengundi Melayu yang rendah iaitu 78% dan 73%. Kerusi lain misalnya Tanah Merah, Jeli dan Hulu Terengganu mempunyai antara 95% hingga 99% pengundi Melayu.

Selain dua kerusi di Perak itu, menarik untuk dilihat sejauh mana Umno bersedia untuk menyerahkan sehingga lapan kerusi kepada Bersatu, parti yang ditubuhkan pada 2016.

Dengan bersendirian, Bersatu tidak mungkin boleh menang kerusi ini tanpa Umno dan PAS.

Sebaliknya, Umno dan PAS yang membentuk kerjasama atas nama Muafakat Nasional pada September 2019 masing-masing boleh menang kerusi berkenaan tanpa Bersatu.

Walaupun ahli Parlimen Tanah Merah, Jeli, Hulu Terengganu, Tasek Gelugor, Larut, Sabak Bernam, Masjid Tanah, dan Mersing sudah menyertai Bersatu, tidak pasti lagi sama ada mereka boleh mempertahankan kerusi itu tanpa Umno.

Umno berminat mahu mempertahankan kerusi tersebut untuk mengukuhkan kedudukan sebagai parti Melayu Islam utama di negara ini.

Anifah Aman keluar Umno pada September 2018 untuk jadi wakil rakyat bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

Kerusi samar-samar

Di Sabah pula, keadaan politiknya terus tidak menentu selepas lima ahli parlimen Umno dan sejumlah wakil rakyat negeri dan senator menyertai Bersatu tahun lalu.

Walaupun tindakan mereka keluar parti menyebabkan beberapa bahagian Umno lumpuh, Umno menunjukkan bahawa ia masih berpengaruh di negeri itu apabila menang pilihan raya kecil Kimanis pada Januari lepas.

Calon muka baharu Mohamad Alamin menang Kimanis dengan majoriti yang lebih besar berbanding yang diperolehi oleh wakil rakyat sebelumnya Anifah Aman.

Anifah keluar Umno pada September 2018 untuk jadi wakil rakyat bebas. Beliau tidak bertanding semula dalam pilihan raya kecil selepas kemenangannya dalam PRU14 dibatalkan oleh mahkamah.

Pilihan raya kecil Kimanis menunjukkan tahap sokongan terhadap BN walaupun banyak wakil rakyat melompat ke Bersatu.

Sekiranya pilihan raya semula diadakan tahun ini, adakah ahli Parlimen Bersatu Sabah akan bertanding sebagai calon Bersatu atau BN?

Ini mustahak kerana pengundi umumnya memilih parti dan bukannya calon.

Kecuali calon seperti Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Shahrir Samad dan Muhyiddin Yassin, tidak ramai yang boleh berdiri tanpa parti.

Bolehkah pembelot PKR menang di bawah Perikatan?

Dengan 11 ahli Parlimen, kumpulan Azmin berperanan menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan pada hujung Februari lalu. Ahli Parlimen Selangau Baru Bian bagaimanapun meninggalkan kumpulan itu dan kini menyertai Parti Sarawak Bersatu.

Sepuluh ahli Parlimen bekas PKR, yang menyertai Bersatu pada Februari lalu, terdiri daripada tujuh di Semenanjung Malaysia, 2 dari Sarawak dan seorang dari Sabah.

Ini tidak termasuk Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang yang keluar PKR bulan lepas tetapi belum menyertai Bersatu.

Daripada tujuh wakil rakyat di Semenanjung, 2 di Selangor (Gombak dan Ampang) dan dua lagi di Johor (Segamat and Batu Pahat). Tiga lagi masing-masing dari Pulau Pinang, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Semua kerusi di Semenanjung Malaysia itu dimenangi dengan majoriti selesa pada PRU14 iaitu antara 11.6% (Segamat) dan 54.8% (Gombak). Majoriti paling rendah ialah di Ranau (2.4%) and Saratok (4.3%), masing-masing di Sabah dan Sarawak.

Walaupun lapan daripada 10 kerusi dimenangi selesa, namun keadaan tidak semudah itu selepas ini kerana tujuh kerusi dimenangi atas tiket PKR yang mewakili Pakatan Harapan.

Kerusi seperti Gombak, Ampang, Bandar Tun Razak, Indera Mahkota dan Nibong Tebal, yang sebelumnya dipegang oleh Umno atau MCA, jatuh ke tangan PKR pada 2008 semasa tsunami pilihan raya yang pertama. Kerusi itu tidak patah balik kepada BN sejak itu.

Dua kerusi lagi iaitu Segamat diwakili oleh MIC selama 36 tahun (1982-2018) dan sebelumnya oleh MCA antara 1974 hingga 1982. Ia hanya jatuh semasa gelombang anti BN pada 2018.

Batu Pahat sebaliknya adalah kerusi BN sejak 1959 (Perikatan-MCA) hingga 2013. Dalam tempoh itu, Umno mewakilinya selama sembilan penggal atau selama 39 tahun (1974-2013).

Oleh itu, daripada tujuh kerusi, lima adalah bekas kerusi PKR sementara dua lagi kubu kuat BN.

Walaupun BN dan PAS akan memberi sokongan kepada Bersatu untuk mempertahankan kerusi yang sebelumnya dimenangi oleh PKR, menarik untuk diperhatikan apakah BN sedia tidak bertanding di Segamat dan Batu Pahat.

Setakat ini, MIC hanya ada kerusi Tapah.

Kerusi manakah yang akan ditanding oleh presiden MIC S Vigneswaran selepas bersara sebagai speaker Dewan Negara bulan lalu?

Umno dan PAS membentuk kerjasama atas nama Muafakat Nasional pada September 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

Faktor bukan Melayu

Kerusi yang kini disandang oleh Bersatu ini juga mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu paling ramai, daripada yang tertinggi di Segamat (53%) hinggalah Gombak (22%).

Sekiranya trend pengundian pada 2018 berterusan dalam PRU15, dengan 95% pengundi Cina dan 89% pengundi India memilih Pakatan, bolehkah Bersatu bertahan di Segamat dan Nibong Tebal yang mempunyai 52% pengundi bukan Melayu, atau di Batu Pahat (45%) dan Ampang (44%)?

Di Segamat misalnya, Edmund Santhara Kumar berjaya mengatasi bekas presiden MIC Dr S Subramaniam dengan 5,476 votes (11.86%) dengan dukungan penuh pengundi bukan Melayu.

Beliau juga menang kerana strategi tiga penjuru Umno-PAS yang memecahkan undi Melayu apabila calon PAS meraih 2,676 undi.

Begitu juga di Nibong Tebal, jika bertanding semula, ahli parlimen dua penggal Mansor Othman, akan terpaksa berdepan dengan 52% pengundi bukan Melayu selepas beliau mengkhianati mandat yang mereka beri.

Bagi MIC yang sekarang hanya ada satu kerusi di Tapah, pilihan raya umum akan datang akan menguji kesediaannya menyerahkan Segamat selepas parti kaum India itu memberi laluan di Cameron Highlands dalam pilihan raya kecil tahun lalu.

Tanpa sokongan bukan Melayu, Santhara dan Mansor akan memerlukan sokongan penuh pengundi Umno dan PAS.

Kerusi Indera Mahkota yang kini disandang oleh Saifuddin Abdullah juga akan menghadapi nasib sama.

Menteri komunikasi dan multimedia itu mendapat 44.85% undi pada PRU14. Calon Umno Johari Mat Sah mendapat 27.66% sementara calon PAS Nasrudin Hasan meraih 27.49%, yang kalau dicampur, jumlahnya lebih tinggi daripada undi Saifuddin.

BN dan PAS juga berada pada kedudukan kuat untuk bertanding di Segamat, Batu Pahat dan Indera Mahkota kerana kedua-dua parti itu boleh menang hanya dengan undi Melayu sahaja.

BN memegang 15 daripada 25 kerusi dalam hampir semua pilihan raya umum sehingga 2018.

Hanya tujuh daripada 25 kerusi itu boleh dikatakan kerusi Pakatan iaitu lima dari kumpulan Azmin dan dua kerusi yang beralih iaitu Bagan Serai dan Bukit Gantang. Tiga kerusi di Sabah dan Sarawak hanya jatuh buat kali pertama pada 2018 dan kerana itu, sukar untuk dijangka sentimen pengundi.

BN akan putih mata untuk dapat semula kerusi perdana menteri dalam PRU15 jika ia menyerahkan kerusi ini kepada Bersatu. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen