ISMAIL Sabri Yaakob percaya pilihan raya awal akan membolehkan Perikatan Nasional (PN) mendapat mandat rakyat dengan majoriti yang baik.
Timbalan presiden Umno itu berkata kerajaan PN ketika ini tidak kuat dan sering berdepan tekanan kerana hanya mempunyai majoriti tipis di Parlimen.
Kerajaan PN hanya memiliki kelebihan tiga kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat dan dibayangi berlakunya pengkhianatan dalam kalangan ahli Parlimennya untuk beralih kepada Pakatan Harapan.
“Secara keseluruhannya kerajaan hari ini tidak kuat. Ini sebabnya penyelesaian yang terbaik adalah menyerahkan mandat kepada rakyat untuk menentukannya.
“Bagi saya, jika kerajaan membubarkan Parlimen hari ini, saya yakin kita boleh menang pilihan raya,” kata Ismail pada satu wawancara bersama Sinar Harian.
Menteri Kanan (Pertahanan) itu berkata kerajaan PNB kini berdepan tekanan daripada Pakatan Harapan.
Katanya PN sepatutnya dibiarkan berkhidmat sehingga tamat penggal tetapi ini mungkin tidak berlaku ekoran tekanan daripada PH.
“Jika ditentukanm rakyat, maka tiada masalah. Tetapi kini (kerajaan) ditentukan oleh ahli Parlimen dan perbezaan antara kedua-dua pihak tidak banyak.
“Sebab itu saya setuju jika membiarkan rakyat yang menentukan.
“Pembangkang mendakwa mereka diterima rakyat dan tidak menerima kami. Jadi biarkan rakyat menentukan siapa pilihan mereka,” katanya.
PH mengambil alih Putrajaya selepas menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Tetapi kerajaan PH hanya bertahan selama 22 bulan apabila kebanyakan ahli Parlimen Bersatu dan PKR keluar gabungan itu dan bekerjasama dengan PAS dan Umno bagi membentuk Perikatan Nasional.
Gerakan itu diketuai oleh Muhyiddin Yassin yang kini menjadi perdana menteri dan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali. – 21 Jun, 2020.
Komen