Baru Bian masuk Parti Sarawak Bersatu


Ahli Parlimen Selangau Baru Bian secara rasmi masuk PSB. Penyertaannya diikuti Adun Batu Lintang Lintang See Chee How serta penyokong mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2020.

DUA bekas pemimpin PKR dan penyokong mereka hari ini secara rasmi menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Presiden PSB Wong Soon Koh ketika mengumumkan perkara itu berkata Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dan Adun Batu Lintang See Chee How diterima masuk ke dalam parti kerana mempunyai misi dan visi yang sama untuk masa depan Sarawak.

“Pada perbincangan itu, kami mendapati bahawa kami mempunyai aspirasi yang sama untuk masa depan Sarawak.

“Wawasan dan harapan Baru merangkumi objektif parti kami untuk menjadikan Sarawak sebuah masyarakat pelbagai kaum iaitu semua rakyat Sarawak diberi peluang yang sama rata untuk menjalani kehidupan dan kemakmuran.

“Dan kami sangat gembira menerima mereka,” kata Wong pada sidang media di Kuching hari ini.

Tambah beliau, PSB sedia menerima mana-mana bekas ahli PKR yang ingin menyertai parti.

Baru yang turut hadir pada sidang media hari ini berkata kesuntukan masa untuk menubuhkan parti baharu sebelum pilihan raya negeri menyebabkan mereka memilih untuk menyertai PSB.

“Tidak perlu parti baharu selepas mendapati aspirasi PSB bersesuaian dengan kami sebagaimana dalam wawasan harapan saya untuk Sarawak baharu.

“Kami yakin dengan pengalaman selama 15 tahun sebagai menteri kewangan (Sarawak) yang berkebolehan dan memiliki portfolio kabinet lain, Wong berada dalam kedudukan unik untuk menerajui kami ke arah yang benar,” katanya.

Baru antara sebelas ahli Parlimen yang keluar PKR sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada Februari.

Beliau bagaimanapun tidak menyertai Perikatan Nasional. – 30 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen