Mas Ermieyati masuk Bersatu


Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018.

AHLI Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin adalah bekas ahli Parlimen Umno yang terkini masuk Bersatu.

Bekas ketua Puteri Umno itu hari ini mengumumkan perkara itu dan berkata langkah tersebut diambil kerana mahukan yang terbaik untuk pengundi di kawasannya selain supaya dapat membela kepentingan mereka dengan lbih berkesan.

“Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk Bersatu,” katanya dalma satu kenyataan hari ini.

“Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi di kawasannya yang sentiasa memberikan sokongan.

Mas Ermieyati menjadi ahli Parlimen bebas sejak keluar Umno pada Jun, selepas pemilihan parti. Menurutnya, Umno gagal memilih barisan kepimpinan yang menunjukkan ia dapat menerima perubahan susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Insya Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha Bersatu selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan Wanita muda, di samping bersikap lebih terbuka dalam memperjuangkan nasib belia supaya mereka dapat merasai satu kehidupan yang lebih baik dan juga untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia.”

Beliau mengikuti jejak bekas ahli Parlimen Umno Mustapa Mohamed (Jeli) dan Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) masuk Bersatu. – 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen