Buat pilihan raya segera, gesa Mat Hassan


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berkata perdana menteri wajar bubar segera Parlimen dan mengadakan pilihan raya semula untuk mendapatkan mandat yang kukuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin wajar membubarkan segera Parlimen dan mengadakan pilihan raya semula untuk mendapatkan mandat yang kukuh, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.

Katanya, Muhyiddin patut mengambil contoh seperti di Singapura, selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong kelmarin mendapatkan perkenan untuk membubarkan Parlimen.

Singapura akan mengadakan pilihan raya umumnya yang ke-14 pada 10 Julai.

“Dalam konteks negara kita, adalah baik jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin juga melakukan perkara yang sama tanpa berlengah.

“Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti ini sejak merdeka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata dalam keadaan sekarang, susah untuk kerajaan PN meluluskan sebarang undang-undang di Parlimen, termasuk Belanjawan.

Katanya, hanya kerajaan dengan mandat yang kuat sahaja boleh mentadbir dengan berkesan dan memberi tumpuan untuk memulihkan ekonomi kesan penularan Covid-19.

“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang.

“Negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan.

“Ini bukan sesuatu yang sihat untuk negara,” katanya.

Jelas Mohamad, kuasa sebenar dalam sistem demokrasi seperti di Malaysia ialah pada rakyat dan bukannya pada blok ahli Parlimen yang “dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik”.

“Oleh itu, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan bagi tanahair tercinta,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Muhyiddin merancang mengadakan pilihan raya lebih awal tahun ini untuk menamatkan keraguan mengenai mandatnya, selepas pertukaran kerajaan melalui percaturan politik pada hujung Februari lalu.

Pada masa ini PN mempunyai 115 ahli Parlimen sementara pembangkang 107 kerusi. – 25 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen