Tok Pa sah sertai Bersatu


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Mustapa Mohamed (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat parti di Petaling Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Oktober, 2018.

BEKAS Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Mustapa Mohamed, sah menyertai Bersatu hari ini.

Penyertaan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu ke dalam parti itu diumumkan Pengerusi Bersatu Dr  Mahathir Mohamad ketika sidang  medianya, malam ini di Menara Yayasan Selangor, di Petaling Jaya.

Mustapa, 68 atau lebih dikenali sebagai Tok Pa turut kelihatan hadir ketika sidang media tersebut.

Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli meninggalkan Umno pada 18 September lalu selepas bersama parti itu selama 40 tahun.

Mengulas penyertaan Mustapa, Dr Mahathir berkata penyertaan itu dibuat secara sukarela dan bukan atas jemputan parti.

“Saya amat sukacita kerana kita terima keahlian dari bekas tokoh Umno. Kita telah beri masa kepadanya untuk jadi anggota Parlimen bebas dan setelah kita lihat pendiriannya maka kita setuju beliau layak jadi anggota parti Bersatu,” katanya.

Mustapa menjadi ahli Parlimen kawasan itu sejak ia diwujudkan pada 1995 dan kalah hanya sekali pada 1999, kesan peralihan undi Melayu kepada pembangkang dalam pilihan raya umum ke-10 itu.

Beliau berkata keputusan itu diambil memandangkan Umno sukar untuk memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti itu.

Tambah Mustapa tiada tanda-tanda majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan Umno.

Mustapa Mohamed (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat parti di Petaling Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Oktober, 2018.

“Berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar,” katanya ketika mengumumkan keluar parti, dipercayai merujuk kepada usaha Umno berbaik-baik dengan PAS.

Mustapa adalah antara lima ahli Parlimen dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meninggalkan Umno sejak parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Penyertaan Mustapa menambah bilangan ahli Parlimen Bersatu di Parlimen, menjadikan jumlah terkini seramai 14 orang. 

Pada 1 Julai lalu, bekas ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin keluar parti sehari kerana melihat tiada isyarat Umno mahu berubah selepas kalah PRU14. Beliau keluar sehari selepas pemilihan parti yang mengangkat Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali juga keluar Umno pada 24 Jun disusuli Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tiga hari kemudian.

Bagaimanapun bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyalahkan Ahmad Zahid sebagai punca  Mustafa keluar parti selain faktor hala tuju semasa parti.

“Saya lantang bersuara memberi amaran kepada parti saya menentang pakatannya dengan PAS. Dan saya diserang bertubi-tubi dari dalam. Sekarang, kita hilang cahaya pedoman dalam parti. Seorang pemimpin yang bijaksana dan baik. Ini salah anda, tuan presiden,” tulisnya di Twitter pada 18 September lalu. – 26 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Good job dato Pa.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan