Dituduh sokong keluar Pakatan, Dr Mahathir cabar keluarkan rakaman penuh mesyuarat Bersatu


Susah dan senang, kita bersama, kata Dr Mahathir kepada Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad mengecam pihak berniat jahat yang menyebarkan rakaman audio yang disunting mendakwa beliau menyokong Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan.

Beliau turut mencabar pihak yang membocorkan klip audio itu untuk mengeluarkan rakaman penuh mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada hujung Februari lalu.

“Ada yang berniat jahat menyebarkan klip audio saya yang jelas disunting.‬

“Saya cabar mereka keluarkan rakaman penuh mesyuarat MPT, ” katanya dalam satu kenyataan pendek dikeluarkan di Facebooknya hari ini.

Beliau juga menegaskan yang beliau akan terus setia dengan pihak yang bersamanya pada pilihan raya umum lepas, merujuk kepada parti Pakatan Harapan.

Tambahnya, sekiranya beliau mahu mengkhianati mandat rakyat, beliau akan menerima pencalonan sebagai perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya tolak. Susah dan senang, kita bersama,” katanya.

Dr Mahathir dan pendukungnya sebelum ini berkali-kali menegaskan tindakan Muhyiddin tidak mendapat mandat parti. Semalam, Dr Mahathir malah berkata Bersatu masih bersama dengan PH.

Dua rakaman daripada mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu yang membincangkan cadangan Bersatu keluar PH juga tersebar minggu lalu.

Rakaman pertama mendedahkan bagaimana mesyuarat menyerahkan kepada Dr Mahathir sebagai pengerusi parti untuk memutuskan sama ada Bersatu kekal atau keluar dari PH.

Rakaman kedua pula memperdengarkan bagaimana Dr Mahathir merayu kepada pimpinan kanan Bersatu supaya tidak memaksa beliau memungkiri janjinya mengenai peralihan kuasa perdana menteri.

Semalam, 27 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan ketua parti negeri menegaskan tindakan Bersatu keluar dari PH dan membentuk gabungan politik baharu telah diputuskan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari – sehari sebelum Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan pengerusi parti.

Awal hari ini, Dr Mahathir melalui peguamnya membantah kenyataan pendaftar pertubuhan yang mengesahkan beliau bukan lagi pengerusi Bersatu sebaliknya jawatan itu dipangku oleh presiden parti Muhyiddin Yassin.

Beliau juga turut meminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyiasat dan menyelesaikan isu status jawatan pengerusi Bersatu, mengikut kuasanya di bawah Akta Pertubuhan 1966, sekiranya itulah pandangan agensi tersebut mengenai status jawatan itu. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen