Satu lagi rakaman audio mesyuarat MPT Bersatu bocor


Rakaman audio tersebar yang didakwa dari mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

SATU lagi rakaman audio tersebar yang didakwa dari mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu, membincangkan cadangan untuk parti keluar dari Pakatan Harapan, yang menjadi titik perbalahan dalam parti yang terpecah dua sekarang.

Dalam rakaman kedua, suara yang mirip Dr Mahathir Mohamad didengar merayu supaya tidak dipaksa mungkir janji, dipercayai berhubung peralihan kuasa perdana menteri.

Mukadimah bertulis pada awal rakaman menyebut audio berkenaan memperdengarkan “pendirian Dr Mahathir selepas digasak oleh sebahagian ahli MPT” untuk bekerjasama dengan Umno, yang menolak kerana tidak mahu bersama parti yang korup.

“Tolonglah jangan paksa… jangan paksa saya buat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip saya.

“Saya janji saya tunai. Saya janji nak letak jawatan, saya akan letak jawatan,” kata suara dalam rakaman itu, dengan nada terdengar sebak.

Ini adalah rakaman yang kedua, tersebar dari akaun di Facebook yang sama, yang mendedahkan butir mesyuarat MPT yang kini jadi punca krisis dalam Bersatu.

Rakaman pertama tersebar pada lewat Isnin.

Rakaman kedua ini selari dengan pendedahan Ahli MPT Bersatu A Kadir Jasin di blognya beberapa selepas mesyuarat itu, tentang bagaimana Dr Mahathir merayu supaya jangan dipaksa beliau melanggar prinsip dan janji.

Sehari selepas mesyuarat tersebut, Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan pengerusi parti kerana merasakan dirinya sudah ditolak oleh partinya sendiri, sementara Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan.

Mesyuarat itu berlangsung dua hari selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan sepakat menyerahkan kepada budi bicara Dr Mahathir untuk menentukan sendiri peralihan kuasa perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik pada November ini.

Seminggu selepas mesyuarat dalam rakaman audio yang terdedah minggu ini, Bersatu di bawah Muhyiddin membentuk kerajaan baharu di Putrajaya hasil kerjasama dengan Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional yang lain serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir membantah keputusan Bersatu keluar PH dan bekerjasama dengan Umno kerana tidak dapat menerima mereka yang korup, yang sebelum itu dilawan dalam pilihan raya umum ke-14. – 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen