Majoriti MPT Bersatu umum sokong Muhyiddin


27 ahli MPT dan ketua negeri menyokong penubuhan Perikatan Nasional dan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

DUA puluh tujuh pimpinan kanan Bersatu menyatakan sokongan terbuka kepada tindakan presiden Muhyiddin Yassin membawa parti keluar Pakatan Harapan (PH) dan membentuk gabungan baharu sebagai kerajaan. 

Mereka menafikan dakwaan pengerusi Dr Mahathir Mohamad bahawa keputusan tersebut dibuat tanpa mandat Majlis Pimpinan Tertinggi, ketika parti itu kini terbelah dua berhubung kerjasama politiknya dengan Umno.

Kesemua 27 ahli MPT dan ketua parti negeri – kecuali Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang – menegaskan tindakan Bersatu keluar daripada PH dan membentuk gabungan politik baharu telah diputuskan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari.

“Keputusan ini adalah jelas dan tidak perlu dipertikaikan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari itu menjadi titik perbalahan dalam Bersatu yang kini terbelah dua antara kelompok yang menyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Pimpinan kanan Bersatu ini mengeluarkan kenyataan bersama selepas Dr Mahathir semalam berkata Bersatu masih dalam PH, walaupun Muhyiddin pada 24 Februari lalu mengumumkan parti itu keluar dan membentuk kerajaan baharu di Putrajaya dan kini di empat negeri.

Mereka yang tidak menurunkan nama pada kenyataan itu ialah yang diketahui bersama Dr Mahathir, antaranya timbalan presiden Mukhriz Mahathir, yang juga ketua Bersatu Kedah, dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Nama setiausaha agung Bersatu yang dipecat Marzuki Yahya juga tiada. Beliau juga adalah ketua Bersatu Pulau Pinang dan Perlis.

Anggota MPT lain yang tiada ialah dua bekas pegawai Dr Mahathir iaitu A Kadir Jasin dan Abu Bakar Yahya, serta Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Ulya Aqamah Husamuddin dan Tariq Ismail Mustafa.

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik, yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam, juga tidak menurunkan namanya dalam kenyataan bersama pimpinan kanan Bersatu ini.

Dua puluh tujuh pimpinan kanan Bersatu itu juga menyatakan sokongan penuh kepada penubuhan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan parti politik, seperti yang terkandung dalam memorandum persefahaman yang diumum hujung minggu lalu.

“Demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara, kami bersetuju Bersatu menyertai PN,” kata mereka.

Kami juga ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu,” tambah mereka.

Pada Ahad lepas, Bersatu bersama lima parti dan gabungan yang kini membentuk kerajaan di persekutuan bersetuju menubuhkan PN, dan mengumumkan satu memorandum persefahaman ke arah itu sedang dirangka.

Dr Mahathir dan beberapa pendukungnya sebelum ini berkali-kali menegaskan tindakan Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH dan bekerjasama dengan Umno tidak sah kerana tidak mendapat mandat parti.

Minggu lalu, dua rakaman daripada mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari tersebar di media sosial mendedahkan perbincangan pimpinan kanan parti itu mengenai cadangan supaya Bersatu keluar daripada PH.

Rakaman pertama mendedahkan bagaimana mesyuarat menyerahkan kepada Dr Mahathir sebagai pengerusi parti untuk memutuskan sama ada Bersatu kekal atau keluar daripada PH.

Rakaman kedua pula memperdengarkan bagaimana Dr Mahathir merayu kepada pimpinan kanan Bersatu supaya tidak memaksa beliau memungkiri janjinya mengenai peralihan kuasa perdana menteri.

Bersatu kini sedang menangguhkan pemilihannya yang pertama sejak penubuhan empat tahun lalu, yang dijangka akan ditetapkan pada satu tarikh baharu selepas 30 Jun ini. – 19 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen