Enam parti sokong tubuh Perikatan Nasional


Pada hujung Februari, enam parti bersetuju menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk mengetuai sebuah pentadbiran baharu menggantikan Pakatan Harapan (PH). – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

BERSATU, Barisan Nasional (BN) dan PAS, serta tiga parti lain yang membentuk kerajaan di Putrajaya hari ini menyokong penubuhan Perikatan Nasional (PN) melalui kerjasama gabungan parti politik, kata pemimpin keenam-enam parti dalam kenyataan bersama.

Tiga parti lain ialah Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyokong penubuhan Perikatan Nasional melalui kerjasama gabungan parti-parti politik,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan bersama ini muncul ketika Umno yang menerajui Barisan Nasional (BN) bertelingkah secara terbuka dengan Bersatu dan menegaskan PN tidak wujud sementara kerjasama mereka hanya setakat sebelum pilihan raya akan datang.

Kenyataan bersama ini turut dikeluarkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno.

Kenyataan itu juga dikeluarkan bersama oleh empat pemimpin lain yang mewakili parti masing-masing iaitu Abdul Hadi Awang (PAS) Abang Johari Openg (GPS), Dr Maximus Ongkili (PBS), dan Dr Jeffrey Kitingan (STAR).

Menurut pemimpin enam parti itu, mereka juga bersetuju atas enam perkara yang sedang dirangka ke arah penubuhan PN, menyentuh soal kenegaraan, pentadbiran, dan perpaduan.

“Ke arah itu, Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional telah dirangka,” tambah mereka.

Memorandum persefahaman itu bertujuan: 

● Memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa; 

● Memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif serta bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara; 

● Memperkukuhkan semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat MA63; 

● Memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara; dan 

● Memperkukuh Perikatan Nasional melalui amalan musyawarah dan konsultansi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat-menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. 

Pada hujung Februari, enam parti itu bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk mengetuai sebuah pentadbiran baharu menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari PH untuk membentuk gabungan baharu dengan Umno dan PAS, yang kemudiannya disokong oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Tindakannya itu kini menyebabkan Bersatu terpecah dua kepada kelompok yang menyokongnya dan satu lagi kelompok yang menentang, yang diketuai oleh pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri 1 Mac.

Susulan pertukaran kerajaan di Putrajaya, PN mengambil alih pentadbiran di empat negeri iaitu Johor, Melaka, dan Perak, serta yang terakhir Kedah pada hari ini.

Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS petang ini mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz Mahathir yang letak jawatan pada sebelah pagi, selepas hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri.

MoU itu dibuat menjelang persidangan Dewan Rakyat yang akan bersidang selama sehari esok. 

Ini kali pertama Parlimen bersidang selepas Perikatan Nasional mengambil alih Putrajaya.

Persidangan itu hanya untuk titah diraja walaupun speaker Dewan Rakyat membenarkan Dr Mahathir Mohamad membentangkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri. 

Rakan kongsi Perikatan sebelum ini berkata bahawa mereka akan menyokong Muhyiddin jika usul itu dibentangkan. – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen