Rakaman mesyuarat MPT Bersatu bincang keluar Pakatan tersebar


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac, selepas membawa keluar parti itu dari PH dan membentuk pakatan baharu dengan Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

SATU rakaman suara yang didakwa dari mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, yang membincangkan cadangan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH) pada hujung Februari lalu – yang kini menjadi titik perbalahan dalam parti – tersebar di media sosial sejak malam tadi.

Rakaman itu memperdengarkan suara yang mirip dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu mesyuarat supaya menyerahkan kepada pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan sama ada Bersatu kekal atau keluar dari PH.

Suara itu berkata mesyuarat boleh menunggu “masa seminggu”, untuk Dr Mahathir yang ketika itu pengerusi PH bertemu dengan ketua-ketua parti komponen lain, dan membuat keputusan “yang paling besar” dalam sejarah parti.

Cadangan pelan itu ialah untuk Bersatu keluar daripada PH dan membentuk satu gabungan kerajaan baharu dengan Bersatu menjadi tunggaknya.

“Jadi kalau begitu kalau setuju kita boleh tamatkan mesyuarat. Keputusan kita pada dasar kita hormat pandangan Tun, kita faham apa yang dimaksudkan tapi bagi sedikit masa,” kata suara lelaki dalam rakaman tersebut.

Sumber Bersatu mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa rakaman audio itu dari mesyuarat MPT Bersatu yang berlangsung pada Ahad, 23 Februari, menjelang mesyuarat berakhir.

Dalam rakaman tersebut, suara itu juga terdengar berkata mesyuarat tersebut boleh ditangguhkan dengan memberi mandat kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan, antaranya kerana keadaan agak emosional.

“Kalau tak beri mandat kita kena mesyuarat sekali lagi,” kata suara itu, yang mengakui mesyuarat menyerahkan kepada “kebijaksanaan Tun” yang berpengalaman dan dihormati.

Pada malam selepas mesyuarat itu, beberapa ahli Parlimen Bersatu termasuk Muhyiddin menyertai kumpulan ahli Parlimen dari PKR yang diketuai bekas timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali, serta wakil rakyat Umno dan PAS di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Pertemuan itu dianggap titik mula peralihan kerajaan yang menyaksikan PH tumbang tidak sampai dua tahun selepas mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bersatu kini terpecah antara kem Dr Mahathir dan kem Muhyiddin selepas episod itu.

Sehari selepas mesyuarat tersebut, Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan pengerusi parti kerana merasakan dirinya sudah ditolak oleh partinya sendiri, sementara Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH.

Awal minggu ini, Dr Mahathir menjelaskan peletakan jawatannya itu dalam satu mesej video yang dirakam sempena ulang tahun kedua PRU14.

Dr Mahathir membuat penjelasan itu selepas ketua penerangan parti Mohd Radzi Md Jidin mendakwa tindakan Bersatu keluar PH diputuskan secara sah dalam mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari.

Dengan keputusan itu, Bersatu membentuk gabungan kerajaan baharu atas nama Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut Radzi, mana-mana ahli Bersatu yang menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti boleh tergugur keahlian mereka serta merta, kerana melanggar perlembagaan.

Malah Radzi mendedahkan Dr Mahathir sedia maklum mengenai cadangan itu tetapi kemudian mengubah fikiran.

Episod Bersatu keluar PH dan Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri mencetuskan kemelut politik menentukan kerajaan baharu, yang berlarutan hampir seminggu.

Muhyiddin kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac.

Pada sidang media pada pagi itu menjelang istiadat angkat sumpah perdana menteri, Dr Mahathir dalam satu sidang media berkata, beliau dikhianati.

Seorang ahli MPT Bersatu, A Kadir Jasin pada awal Mac menulis di blognya menceritakan bagaimana ahli pimpinan kanan parti yang bermesyuarat pada 23 Februari itu “seperti dirasuk syaitan” mendesak Dr Mahathir setuju supaya parti keluar dari PH. – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen