DR Mahathir Mohamad berkata beliau letak jawatan pengerusi Bersatu dan kemudian perdana menteri pada hujung Februari lalu kerana partinya sendiri melawan nasihatnya supaya tidak keluar dari Pakatan Harapan.
Beliau membuat penjelasan itu dalam satu rakaman video kerana merasakan “ramai yang tidak faham” akan keputusannya dua bulan lalu.
“Sebenarnya saya letak jawatan kerana parti saya sendiri tolak saya, iaitu mereka buat keputusan yang bertentangan dengan nasihat saya, bermakna parti sudah hilang kepercayaan kepada saya.
“Dalam keadaan itu saya tidak boleh kekal sebagai pengerusi Bersatu. Itu sebabnya (saya letak jawatan), kerana tindakan parti saya sendiri,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik ke YouTube dan Facebook hari ini.
Jelas Dr Mahathir, beliau tidak faham kenapa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersungguh-sungguh mahu partinya keluar PH, dan keluar “pada hari itu juga”.
“Katanya, kalau tak keluar maka orang Melayu akan hancur, akan dihancurkan oleh DAP. Saya tidak yakin DAP dengan begitu mudah akan hancurkan orang Melayu.
“Sebab itu saya berkata tunggulah, kita ambil masa sedikit. Fikir mendalam,” katanya.
Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar PH pada 24 Februari, hari yang sama Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan pengerusi parti.
Tindakan mereka pada hari itu menyebabkan PH hilang majoriti di Dewan Rakyat dan Kabinet Dr Mahathir gugur serta merta, mencetuskan kemelut politik menentukan kerajaan baharu yang berlarutan hampir seminggu.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada malam hari yang sama bagaimanapun menolak perletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti, dan beliau setuju untuk kembali memegang jawatan itu pada 27 Februari.
Bagaimanapun, pada 29 Februari lalu, setelah PH setuju menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekali lagi, Muhyiddin mengisytiharkan dirinya pengerusi Bersatu dengan alasan tidak peruntukan dalam perlembagaan untuk Dr Mahathir dilantik semula.
Kedudukan pengerusi Bersatu jadi pertikaian kerana perlembagaan parti menetapkan kuasa pengerusi sebagai penentu hala tuju parti, dan dalam hal ini, soal pendirian parti menolak PH dan berkerjasama dengan parti lain.
Muhyiddin mengangkat sumpah perdana menteri pada 1 Mac selepas membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak.
Beberapa hari lalu, episod pada hujung Februari itu dihuraikan sekali lagi oleh Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin selepas membayangkan kesediaan parti mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir kerana tidak menyokong keputusan parti.
Radzi membuat kenyataan itu selepas beberapa pemimpin Bersatu termasuk Setiausaha Agung Marzuki Yahya yang dipecat oleh Muhyiddin pada Mac lalu menegaskan MPT Bersatu tidak pernah membuat keputusan untuk parti keluar dari PH.
MPT Bersatu dijadual bermesyuarat hari ini, dipercayai untuk membincangkan kedudukan Dr Mahathir dan timbalan presiden Mukhriz Mahathir dalam parti.
Mesyuarat itu bagaimanapun ditangguhkan ke satu tarikh lain melalui satu notis yang dikeluarkan tiga jam selepas laporan media mengenainya.
Bersatu kini terbelah dua antara kelompok yang menyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin, ketika parti bakal melalui pemilihan jawatan pertama sejak penubuhannya empat tahun lalu. Pemilihan itu ditangguhkan sehingga Jun susulan penularan Covid-19. – 11 Mei, 2020.
Komen