Bersatu retak selepas Dr Mahathir umum sedia jadi PM


Menurut Muhyiddin, Dr Mahathir sudah letak jawatan pengerusi parti pada Isnin lalu, menjadikan beliau tidak layak menentukan hala tuju dan keputusan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

BERSATU mula ternampak retak beberapa jam selepas pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad mengumumkan sedia jadi perdana menteri dan sudah dapat sokongan Pakatan Harapan, sehari selepas ahli parlimen parti itu memutuskan presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon ketua kerajaan.

Muhyiddin hari ini mengumumkan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi Bersatu kerana sudah letak jawatan pada Isnin.

Selang beberapa minit kemudian, Setiausaha Agung Marzuki Yahya menegaskan Dr Mahathir adalah pengerusi parti dan mengikut perlembagaan mempunyai kuasa mutlak dan bertanggungjawab memimpin parti.

“Oleh yang demikian, segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan YAB Tun sebagai pengerusi Bersatu,” kata Marzuki.

Kenyataan Marzuki dilihat menempelak kenyataan Muhyiddin yang mengumumkan beliau kini memangku tugas pengerusi Bersatu dan bukannya Dr Mahathir.

Retak dalam Bersatu ini muncul hanya beberapa jam selepas Dr Mahathir mengisytiharkan sedia jadi perdana menteri sekali lagi, sudah mendapat sokongan Pakatan Harapan, dan akan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Muhyiddin, Dr Mahathir sudah letak jawatan pengerusi parti pada Isnin lalu, menjadikan beliau tidak layak menentukan hala tuju dan keputusan parti.

“Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baharu. 

“Bersatu belum mengadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi yang baharu. 

“Justeru, saya selaku Presiden memangku jawatan Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan diadakan kelak,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.’

Kenyataan Muhyiddin bagaimanapun tidak menyebut bagaimana Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sehari kemudian.

Dua hari lalu, pada Khamis, Marzuki dalam satu kenyataan berkata keputusan pimpinan kanan parti itu disampaikan untuk pertimbangan Dr Mahathir.

“Setelah berbincang pada hari ini (27 Feb) dan dpertimbangkan semula oleh YAB Tun, beliau telah bersetuju untuk kembali sebagai Pengerusi Bersatu berkuat kuasa serta merta,” kata Marzuki.

Awal hari ini, Dr Mahathir menawarkan diri jadi calon perdana menteri sekali lagi dan yakin beliau ada sokongan yang cukup untuk mengetuai kerajaan.

“Saya sekarang yakin saya mempunyai sokongan yang diperlukan untuk mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Oleh itu, saya sedia dipertimbangkan sebagai calon perdana menteri.

“Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Dr Mahathir membuat kenyataan itu selepas bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

Serentak itu, Pakatan Harapan, yang sebelum ini menamakan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, mengumumkan sokongan penuh kepada Dr Mahathir.

Awal minggu ini, Seri Paduka menerima peletakan jawatan Dr Mahathir namun kemudian melantiknya semula sebagai perdana menteri sementara, menunggu seorang perdana menteri dipilih.

Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan ini ketika ahli Parlimen Bersatu, parti yang beliau pengerusikan, memberi sokongan kepada Muhyiddin. Setakat semalam, Muhyiddin mendapat sokongan daripada Umno dan Barisan Nasional, serta PAS dan PBRS.

Menurut Dr Mahathir, beliau tidak dapat bekerjasama dengan mereka yang diketahui korup, yang sebelum ini dilawan oleh Pakatan Harapan.

Beliau juga mengulangi kenyataan tidak dapat menerima Umno secara keseluruhannya kerana tidak sedia untuk bekerjasama dengan pemimpin yang korup.

“Saya boleh terima mereka secara individu selagi mereka terbukti bersih. 

“Mungkin Tan Sri Muhyiddin lebih terbuka dengan pendekatan ini (bekerjasama dengan Umno secara keseluruhan),” katanya. – 29 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen