Mesyuarat MPT Bersatu esok tangguh


BERSATU menangguhkan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti esok yang tidak memanggil pengerusi Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden Mukhriz Mahathir yang dipercayai mahu membincangkan kedudukan mereka dalam parti.

The Malaysia Insight difahamkan notis penangguhan mesyuarat itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya kepada anggota MPT pada pukul 7.15 malam tadi.

“Saya seperti yang diarahkan memaklumkan mesyuarat MPT yang dijadual esok (Isnin)... ditangguhkan kepada tarikh lain yang dimaklumkan kelak,” katanya dalam notis itu.

Suhaimi yang dihubungi melalui WhatsApp mengesahkan notis penangguhan tersebut.

Notis itu menyusul laporan The Malaysian Insight dan beberapa media lain lebih kurang tiga jam sebelumnya bahawa ada satu mesyuarat MPT Bersatu esok yang tidak melibatkan Dr Mahathir dan Mukhriz.

Sama seperti notis panggilan mesyuarat, notis penangguhannya juga ditujukan kepada presiden, dua naib presiden, ketua sayap Pemuda dan Wanita, dan ahli pimpinan tertinggi yang lain.

Bersatu tidak menganggap Dr Mahathir sebagai pengerusi parti selepas beliau letak jawatan pada 24 Februari lalu, pada hari yang sama beliau letak jawatan perdana menteri.

Mesyuarat esok dipanggil ketika kemelut perpecahan dalam Bersatu, susulan langkah Presiden Muhyiddin Yassin membawa parti keluar dari PH dan bekerjasama dengan Umno, semakin memuncak secara terbuka.

Bersatu kini terbelah dua, antara satu kelompok menyokong Dr Mahathir dan satu lagi mendukung Muhyiddin.

Khamis lalu, Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin berkata parti sedia menggugurkan keanggotaan mana-mana ahlinya yang menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti. 

Dalam kenyataannya, Radzi menyebut dengan terang tindakan Dr Mahathir dan Mukhriz yang dianggap melanggar perlembagaan parti.

The Malaysian Insight difahamkan satu mesyuarat ahli MPT Bersatu diadakan semalam (Sabtu, 9 Mei), yang hanya melibatkan mereka yang mendukung Muhyiddin.

Sumber memberitahu mesyuarat itu cuba menetapkan strategi untuk mesyuarat esok, dengan naratifnya diatur oleh seorang pemimpin kanan Bersatu yang keluar Umno dan menyertai parti selepas pilihan raya umum ke-14.

Mesyuarat esok yang ditangguhkan ini juga asalnya dipanggil ketika kedudukan pentadbiran Mukhriz di Kedah dikatakan semakin goyang selepas peralihan pentadbiran di Putrajaya. 

Awal hari ini, pemimpin PAS dan Umno mengadakan pertemuan di Alor Setar dipercayai membincangkan kemungkinan mengambil alih pentadbiran negeri.

Muhkriz pula dalam satu kenyataan panjang minggu lalu menyeru Bersatu untuk kembali bersama PH, demi masa depan parti yang lebih terjamin berbanding jika bekerjasama dengan PAS dan Umno.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH pada 24 Februari, yang didakwa dipersetujui dalam mesyuarat MPT sehari sebelumnya. Muhyiddin seterusnya menubuhkan kerajaan baharu di Putrajaya bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Semalam, Dr Mahathir menyeru ahli-ahli Bersatu merenung semula niat mereka dan jati diri perjuangan semasa menyertai parti, selepas Muhyiddin bekerjasama dengan Umno yang mereka lawan sebelum ini.

Susulan kenyataan itu, Radzi mengeluarkan kenyataan balas mendakwa Dr Mahathir sebenarnya tahu sejak awal dan bersetuju dengan cadangan Bersatu keluar PH namun kemudian mengubah fikiran.

Sejak seminggu lalu, pemimpin Bersatu berbalas kenyataan di media saling mempertikai dan mempertahan langkah parti keluar PH dan membentuk kerajaan baharu bersama Umno.

Bersatu menangguhkan pemilihan parti sehingga akhir Jun susulan pelbagai sekatan bagi membendung penularan Covid-19. Pemilihan itu sepatutnya berlangsung hujung April lalu.

Dr Mahathir terpilih semula sebagai pengerusi parti selepas tiada pencalonan lain untuk jawatan itu. Muhyiddin pula dicabar oleh Mukhriz untuk jawatan presiden. – 10 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen