Fikir balik, kenapa masuk Bersatu, kata Dr Mahathir kepada ahli parti


Dr Mahathir Mohamad meminta ahli Bersatu merenung semula niat mereka dan jati diri perjuangan semasa menyertai parti itu, yang ditubuhkan empat tahun lalu untuk menggantikan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

PENGERUSI Bersatu Dr Mahathir Mohamad meminta ahli Bersatu merenung semula niat mereka dan jati diri perjuangan semasa menyertai parti itu, yang ditubuhkan empat tahun lalu untuk menggantikan Umno.

Beliau meminta mereka fikir dengan mendalam niat dan perjuangan itu ketika Bersatu hari ini sudah berganding bahu semula dengan Umno, yang ia lawan semasa pilihan raya umum ke-14 genap dua tahun lalu.

“Saya harap ahli Bersatu fikir dengan mendalam apa sebabnya mereka menyertai Bersatu.  Mereka menyertai Bersatu kerana sudah tidak percaya kepada Umno. 

“Sekarang ini mereka dirangkum masuk (ke dalam gabungan Perikatan Nasional) dengan cara yang tidak betul supaya Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan. 

“Inilah yang sedang berlaku. Fikir-fikirlah dengan mendalam,” katanya dalam perutusan sempena ulang tahun kedua pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Bersatu kini terbelah dua antara kumpulan yang menyokong Dr Mahathir dan presiden parti Muhyiddin Yassin yang menarik keluar parti dari Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baharu bersama Umno dan PAS pada hujung Februari lalu.

Dr Mahathir membuat kenyataan ini ketika ahli Bersatu bersiap sedia untuk meneruskan pemilihan parti yang kini ditangguhkan sejak sekatan pergerakan membendung Covid-19.

Ia juga dibuat ketika ada usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang akan dikemukakan pada sidang Dewan Rakyat yang ditetapkan sehari pada 18 Mei.

Dalam mesej videonya, Dr Mahathir mengimbau perjuangan PH melawan Najib Razak yang kleptokrat dan untuk menjatuhkan Barisan Nasional, yang kemudiannya digantikan gabungan Perikatan Nasional.

Beliau mengingatkan bagaimana Umno sudah menegaskan bahawa gabungan Perikatan Nasional sebenarnya tidak ada, sebaliknya mereka hanya menyokong Muhyiddin dan Bersatu untuk menggantikan kerajaan PH.

Majlis Tertinggi Umno minggu ini dilaporkan sudah membuat keputusan tidak akan memeterai secara rasmi kerjasama Perikatan Nasional, tidak seperti Umno dan PAS sebaga Muafakat Nasional. Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga berkata Umno akan bertanding pilihan raya termasuk melawan Bersatu walaupun sekarang bersama dalam Perikatan Nasional.

Setelah Bersatu kini berpecah dua, kata Dr Mahathir, masa depan Bersatu tidak lagi jelas – “tinggal terkonteng-konteng” – dan ada kemungkinan akan hancur dalam pilihan raya akan datang.

“Di satu pihak mereka (Bersatu) tidak dapat sokongan daripada Umno, di pihak yang lain mereka juga tidak dapat sokongan daripada PH. 

“Jadi tinggal Bersatu ini terkonteng-konteng, tak ada daratan. Tak tahu di mana,” katanya.

Dr Mahathir membayangkan Bersatu akan hancur kerana Umno akan menentangnya dalam pilihan raya nanti.

“Harapan orang Melayu untuk menggantikan Umno dengan parti Melayu yang lain, akan hilang,” tambahnya.

Pada 24 Februari lalu, Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baharu bersama Umno, sementara Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri, menyebabkan pentadbiran yang dibentuk selepas PRU14 gugur serta merta.

Beberapa pemimpin kanan Bersatu bagaimanapun mendedahkan keputusan Muhyiddin itu tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Minggu lalu, timbalan presiden Bersatu Mukhriz Mahathir meminta Muhyiddin menjelaskan kedudukan parti dalam kerjasamanya dengan Umno dan PAS. Pada masa sama, beliau menyarankan Bersatu agar kembali kepada PH.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berkata keputusan kerajaan Muhyiddin menghadkan sidang Dewan Rakyat hanya sehari pada 18 Mei ini menunjukkan demokrasi “sudah terhakis” di Malaysia.

“Kalau dahulu kerajaan Najib dikatakan kerajaan pencuri, kerajaan Muhyiddin ini yang tidak membenarkan kita berbahas di Parlimen, bukan lagi kerajaan demokratik tetapi separuh diktator.

“Inilah yang berlaku dan saya harap rakyat faham,” katanya. – 9 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen