Bersatu tiada pilihan, patah balik masuk Pakatan, kata Mukhriz


Dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada Muhyiddin Yassin, yang juga Perdana Menteri, Mukhriz berkata masa depan Bersatu lebih baik bersama PH berbanding keadaan tidak menentu bersama Umno dan PAS sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

BERSATU tiada pilihan selain kembali bersama Pakatan Harapan (PH), kata timbalan presidennya Mukhriz Mahathir, selepas melihat kerjasama dengan Umno dalam Perikatan Nasional (PN) hanya akan merugi masa depan parti.

Mukhriz bagaimanapun adalah antara Ahli Parlimen Bersatu yang tidak menyokong keputusan presiden parti Muhyiddin Yassin menarik keluar Bersatu daripada PH untuk membentuk kerajaan gabungan baharu bersama Umno dan PAS pada hujung Februari lalu.

Dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada Muhyiddin, yang juga Perdana Menteri, Mukhriz berkata masa depan Bersatu lebih baik bersama PH berbanding keadaan tidak menentu bersama Umno dan PAS sekarang.

“Sekurang-kurangnya kita dapat mempertahankan kepentingan Bersatu bersama PH, berbanding dengan ketidaktentuan, risiko dan kerugian jika bersama Umno dan PAS.

“Pada hemat saya, Bersatu hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kembali bersama PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mukhriz menambah beberapa pemimpin PH juga sudah membayangkan kesediaan untuk menerima Bersatu semula.

“Hubungan antara kita walaupun sedikit tercalar akibat Langkah Sheraton masih boleh dipulihkan untuk kesejahteraan negara,” katanya.

Mukhriz mengeluarkan kenyataan itu selepas beberapa pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Mohamad Hasan berkata parti itu tidak menyertai PN dan tidak kerjasama politik rasmi dalam PN untuk membentuk kerajaan.

Mohamad berkata Umno akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang bersama PAS dan Barisan Nasional, dan Umno mahu menang dengan kerusi terbanyak di Parlimen.

Kenyataan Mukhriz juga menyusul laporan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Rahman mempelawa Muhyiddin untuk kembali menyertai Umno, dan boleh kekal sebagai perdana menteri.

Muhyiddin dan Mukhriz mengasaskan Bersatu selepas mereka dipecat dari Umno pada Jun 2016 kerana lantang mengkritik Najib Razak berhubung skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Muhyiddin mengangkat sumpah jadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Bersatu dan PH, pada 1 Mac lalu, dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekutu Umno dalam Barisan Nasional (BN), dan parti-parti lain di Sabah.

Dalam kenyataannya, Mukhriz mengemukakan beberapa pertanyaan kepada Muhyiddin, yang katanya mewakili persoalan yang bermain dalam fikiran ahli Bersatu. Soalan sama beliau tanyakan kepada pemimpin Umno.

Beliau bertanya tentang status kerjasama Bersatu bersama Umno dan PAS, dan bagaimana tiga parti Melayu itu akan menghadapi pilihan raya umum ke-15 ketika semuanya bergantung pada undi Melayu.

“Apakah peluang Bersatu untuk menang kerusi-kerusi yang ditandingi jika ia akan berdepan dengan Umno atau PAS dalam keadaan tiada kesepakatan antara mereka? 

“Jika Bersatu sebenarnya tidak bersama Muafakat Nasional, dan tidak juga bersama PH, apa logiknya Bersatu boleh menang di mana-mana kawasan sekalipun? 

“Adakah Bersatu berupaya mempertahankan semua kerusi Parlimen dan DUN yang sekarang berada dalam tangannya?,” tanya Mukhriz.

Beliau juga bertanya apa nasib politik menteri dan timbalan menteri dari Bersatu selepas Dewan Rakyat bubar nanti, termasuk Muhyiddin sendiri.

Mukhriz memberikan contoh kerusi Parlimen Ketereh di Kelantan, yang dimenangi oleh bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa, yang mengalahkan Mohd Radzi Md Jidin dari Bersatu. Kedua-duanya sekarang menteri dalam kabinet Muhyiddin.

Beliau juga memberitahu contoh beberapa kerusi yang dimenangi oleh menteri dari Bersatu dalam pentadbiran Muhyiddin misalnya Tambun (Ahmad Faizal Azumu), Alor Gajah (Mohd Redzuan Md Yusof) and Titiwangsa (Rina Harun).

Mukhriz juga yakin segala krisis – politik, kesihatan, dan ekonomi – yang sedang dihadapi oleh negara sekarang boleh ditangani dengan lebih baik oleh sebuah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan oleh Dr Mahathir.

“Jika Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bersatu bersetuju dengan kenyataan saya ini, sila mengorak langkah dan kembali ke pangkal jalan. 

“Itulah sebaik-baik tindakan yang boleh Yang Berhormat-Yang Berhormat lakukan untuk mengembalikan maruah dan menjamin kelangsungan Bersatu,” katanya.

Bersatu, yang kini menangguhkan pemilihan parti susulan penularan Covid-19, kini terbelah dua antara kelompok yang menyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Dr Mahathir sudah terpilih semula sebagai pengerusi parti sementara Muhyiddin dicabar oleh Mukhriz untuk jawatan presiden. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen