Marzuki dakwa MPT Bersatu tidak pernah putuskan keluar Pakatan


Marzuki Yahya berkata mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari ada membahaskan isu keluar PH namun sebulat suara menyerahkan kepada Dr Mahathir Mohamad untuk membuat penentuan, sebagai pengerusi parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

SEORANG lagi pemimpin Bersatu mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti tidak pernah membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan tidak pernah juga menamakan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.

Marzuki Yahya, yang mendakwa dirinya masih setiausaha agung parti berkata, mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari ada membahaskan isu keluar PH namun sebulat suara menyerahkan kepada Dr Mahathir Mohamad untuk membuat penentuan, sebagai pengerusi parti.

“Maka, kenyataan bahawa kononnya keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi adalah untuk Bersatu keluar dari PH adalah tidak tepat dan salah sama sekali,” katanya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan atas kedudukan setiausaha agung Bersatu.

“Di mana salah laku yang dilakukan oleh Dr Mahathir yang melanggar peraturan parti sehingga boleh menggugurkan keahlian beliau,” tanyanya.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin memberi amaran mana-mana ahli parti yang membelakangkan keputusan parti dan menjalin kerjasama dengan parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahlian secara serta-merta.

Radzi merujuk Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan keahlian anggota Bersatu gugur serta merta sekiranya “menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain”.

Beliau juga mengingatkan keputusan sekumpulan ahli Parlimen Bersatu memilih Muhyiddin sebagai calon perdana menteri tidak boleh mengatasi keputusan MPT, dan parti tidak terikat dengan keputusan itu.

Dalam pada itu, Marzuki juga mengingatkan bahawa Dr Mahathir masih pengerusi parti yang sah dan mempunyai kuasa mutlak memimpin parti, seperti ketetapan perlembagaan Bersatu.

Sebelum Marzuki, ahli MPT Ulya Aqamah Husamudin juga mendedahkan perkara sama dan berkata Radzi tidak telus serta menyembunyikan apa yang sebenarnya diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

Marzuki dipecat dari jawatannya pada hujung Mac lalu selepas Muhyiddin jadi perdana menteri. Tempatnya digantikan oleh Hamzah Zainuddin, bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu pada Disember 2018, lapan bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Hamzah diketahui mendukung Muhyiddin sementara Marzuki memihak kepada Dr Mahathir.

Bersatu terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan Dr Mahathir tidak merestui tindakan itu.

Bersatu kini membentuk gabungan atas nama Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), serta PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil di Sabah.

Marzuki Yahya juga mengingatkan bahawa Dr Mahathir Mohamad masih pengerusi parti yang sah dan mempunyai kuasa mutlak memimpin parti, seperti ketetapan perlembagaan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

Rujuk minit mesyuarat

Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla yang pernah bertindak bagi pihak parti dan Dr Mahathir berkata, polemik mengenai kedudukan Bersatu ini boleh dijernihkan dengan merujuk pada minit mesyuarat berkenaan.

Katanya, minit mesyuarat itu boleh mengesahkan fakta yang sebenar.

“Jika pun ada keputusan MPT untuk keluar dari PH, adakah keputusan lanjut (oleh MPT) untuk bercantum dengan parti-parti lain untuk tujuan menubuhkan kerajaan baharu.

“Di mana keputusan MPT Bersatu untuk bergabung dengan Umno, PAS dan sebagainya untuk menubuhkan kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional?,” tanyanya, dalam satu kenyataan lisan di Facebook.

Jelas Haniff, sekiranya tidak keputusan MPT, tidakkah pemimpin dan ahli Bersatu yang kini menjalin kerjasama dengan Umno dan PAS juga telah melanggar perlembagaan parti seperti yang dirujuk oleh Radzi.

“Jangan lupa, lulus jarum lulus kelindan,” katanya, mengingatkan bahawa perlembagaan parti terpakai kepada semua ahli Bersatu.

Dr Mahathir letak jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Februari, selepas Muhyiddin bertegas mahu membawa Bersatu keluar dari PH, seperti yang dibahaskan dalam mesyuarat MPT sehari sebelumnya. 

Muhyiddin mengumumkan tindakan Bersatu keluar PH tidak lama selepas Dr Mahathir disahkan menyerah surat letak jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selepas kemelut politik hampir seminggu susulan peristiwa itu, Muhyiddin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri untuk mengetuai kerajaan gabungan baharu Bersatu bersama Umno dan BN, serta PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak. – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen