Ahli MPT Bersatu dakwa Radzi Jidin tidak telus


Radzi mengingatkan keputusan MPT Bersatu pada 23 Februari untuk membawa parti keluar dari gabungan PH yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

SEORANG Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu meminta ketua penerangan parti Mohd Radzi Md Jidin lebih telus mengenai kedudukan parti dan kerjasama politiknya sebelum memberi amaran kepada ahli supaya menghormati keputusan parti.

Ulya Aqamah Husamudin berkata sebagai ketua penerangan, Radzi sepatutnya bersikap telus dengan ahli dan menjelaskan kedudukan sebenar keputusan parti berhubung kerjasama politiknya.

“Akibat maklumat yang disembunyikan inilah ahli dan parti berada dalam kecelaruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ulya yang juga ketua penerangan Pemuda Bersatu mengulas kenyataan Radzi yang memberi amaran kepada ahli Bersatu agar mematuhi keputusan parti atau sedia berdepan tindakan disiplin termasuk gugur keahlian.

Radzi mengingatkan keputusan MPT Bersatu pada 23 Februari untuk membawa parti keluar dari gabungan PH yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 itu.

Menurut Ulya, MPT Bersatu tidak pernah setuju untuk bekerjasama dengan Umno, dan tindakan parti bergabung dalam Perikatan Nasional tidak boleh dianggap sebagai keputusan badan tertinggi parti.

Keputusan keluar Pakatan Harapan juga ditangguhkan sehingga mendapat kebenaran Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti, katanya.

“Ketetapan MPT adalah untuk memberi masa kepada pengerusi dan serahkan keputusan kepada beliau. 

“Sehingga hari ini, MPT masih belum menetapkan apa-apa hubungan politik secara formal,” katanya.

Oleh sebab belum ada keputusan mengenai gabungan politik itulah, maka Bersatu di Kedah boleh kekal dalam kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan, jelas Ulya.

Beliau juga berkata MPT Bersatu hanya bersetuju dengan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, selepas kerajaan PH runtuh pada hujung Februari lalu.

“Apabila Ahli Parlimen Bersatu yang lain menghantar nama kedua (presiden parti Muhyiddin Yassin), tindakan itu telah melanggar ketetapan MPT. 

“Penting untuk maklum MPT tidak pernah mengubah pendirian ini,” katanya.

Bersatu mengeluarkan amaran menggugurkan keahlian ahlinya yang menentang parti ketika parti terbelah dua antara kelompok yang menyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Parti terbelah dua selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari PH dan Dr Mahathir tidak merestui tindakan itu.

Bersatu kini membentuk gabungan atas nama Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil di Sabah.

Semalam, sayap Pemuda Bersatu mengumumkan keputusan menolak kerjasama dengan Umno sebaliknya menyokong usaha membawa parti kembali untuk bersama Pakatan.

Keputusan dibuat beberapa hari selepas timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir membuat satu kenyataan terbuka meminta Muhyiddin menjelaskan kedudukan parti itu dalam kerjasamanya dengan Umno dan PAS. – 7 Mei 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen