Pemuda Bersatu tolak Umno, mahu parti kembali bersama Pakatan


SAYAP Pemuda Bersatu (Armada) bersama-sama pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan menggesa parti supaya kembali ke pangkuan gabungan Pakatan Harapan.

Armada membuat keputusan itu selepas exconya bermesyuarat dengan Dr Mahathir, yang disertai ketua-ketua sayap negeri, kata sayap itu dalam satu kenyataan.

“Pendirian ini adalah berdasarkan undian yang dibuat semasa perjumpaan dan dipersetujui oleh lebih dua pertiga ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu menyebut Bersatu telah bersama Pakatan dari awal perjuangannya menyelamatkan negara.

“Susah dan senang akan kita hadapi bersama sebagai satu keluarga,” kata kenyataan itu.

Bersatu kini terbelah dua selepas presidennya Muhyiddin Yassin menarik parti keluar dari Pakatan pada hujung Februari lalu sehingga membawa kepada peralihan kuasa di Putrajaya dan tiga negeri.

Satu kelompok menyokong Dr Mahathir sementara satu kumpulan lagi mendukung Muhyiddin, ketika Bersatu kini menangguhkan pemilihan parti susulan penularan Covid-19.

Dr Mahathir sudah terpilih semula sebagai pengerusi parti sementara Muhyiddin dicabar oleh timbalannya Mukhriz Mahathir untuk jawatan presiden.

Keputusan Armada ini dibuat beberapa hari selepas Mukhriz membuat satu kenyataan terbuka meminta Muhyiddin menjelaskan kedudukan parti itu dalam kerjasamanya dengan Umno dan PAS.

Mukhriz berpandangan lebih baik Bersatu bersama Pakatan daripada dipermain-mainkan oleh Umno dalam Perikatan Nasional.

Beberapa pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Mohamad Hasan menegaskan Perikatan Nasional hanya satu ikatan longgar yang tidak mengikat, tidak seperti gabungan politik Barisan Nasional atau Muafakat Nasional antara Umno dan PAS.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Pakatan sedia menerima Bersatu semula tetapi keputusan itu mesti dibuat oleh Bersatu sebagai sebuah parti. – 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen