Pakatan sedia terima semula Bersatu, kata Anwar


Pakatan Harapan sedia menerima semula Bersatu dengan syarat ia menghormati agenda Reformasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

PAKATAN Harapan sedia menerima semula Bersatu ke dalam gabungan itu, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim, dengan syarat parti itu sedia berpegang pada agenda reformasi.

PH terpelanting dari Putrajaya selepas Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari gabungan itu, menyebabkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada Mei 2018 tumbang tidak sampai dua tahun.

Bersatu, yang kini menangguhkan pemilihan parti susulan penularan Covid-19, kini terbelah dua antara kelompok yang menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin.

Dr Mahathir sudah terpilih semula sebagai pengerusi parti sementara Muhyiddin dicabar oleh Mukhriz untuk jawatan presiden.

Minggu lalu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub turut mengalu-alukan Bersatu Johor untuk kembali ke pangkuan PH negeri ketika parti itu dilihat bertelagah dengan Umno di Johor berhubung soal pengagihan jawatan.

Katanya, pemimpin Umno Johor tidak mungkin adil kepada Bersatu yang dianggap sebagai budak suruhan.

Katanya, PH terbuka tetapi keputusan itu mesti dibuat oleh Bersatu sebagai sebuah parti.

“Itu keputusan yang perlu dibuat oleh Bersatu, ada dua Bersatu sekarang, (dan) keputusan mesti dibuat sebagai satu parti.

“PH mengambil sikap terbuka tetapi (Bersatu) harus patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori dalam PH, termasuk menolak sistem korup.

“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang lalu,” katanya dalam sesi tanya jawab secara langsung di Facebook, hari ini.

Anwar menjawab soalan tentang gesaan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin agar membawa parti itu kembali menyertai gabungan PH.

Katanya, Bersatu tiada pilihan selain kembali bersama PH kerana kerjasama dengan Umno dalam Perikatan Nasional (PN) hanya akan merugi masa depan parti.

Mukhriz menggariskan beberapa hujah yang menunjukkan bagaimana kedudukan Bersatu dalam PN merugikan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Mukhriz mengeluarkan kenyataan itu selepas beberapa pemimpin Umno termasuk Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata parti itu tidak menyertai PN dan tidak kerjasama politik rasmi dalam PN untuk membentuk kerajaan. – 5 Mei, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen